Premier Abang Jo nafikan Sarawak rampas industri gas dan minyak, sebaliknya kerajaan Persekutuan cuma mengembalikan hak kita
KUCHING -- Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menafikan tuduhan yang mendakwa Sarawak "membolot" industri gas dan minyak seperti yang dilemparkan sebuah portal berita baru-baru ini.
Tegasnya, sebaliknya kerajaan persekutuan cuma mengembalikan hak Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tambahnya lagi, mengikut peruntukan dalam Perlembagaan iaitu Jadual 9 Bahagian 5, Sarawak menggunakan haknya untuk mencari pendapatan menerusi pelaksanaan cukai jualan.
"Undang-undang telah kita luluskan, kita sudah ada kuasa menguruskan gas. Pengedaran gas di Sarawak kini diuruskan oleh PETROS (Sarawak Petroleum Berhad) bukan lagi Petronas.
"Orang mula mengatakan tidak lama lagi Sarawak hendak menguasai semua hal berkaitan minyak. Bukan saya mengambil hak Petronas, saya tidak mengambil hak PDA (Akta Pembangunan Petroleum), pengagihan gas itu, kita sudah ada undang-undang sebelum penubuhan Malaysia lagi kerana di Miri sebelum ini sudah ada gas paip ke rumah.
"Maknanya, kita sudah pun ada undang-undang," katanya pada Majlis Ngabang Gawai Dayak Bahagian Betong 2024 di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, Betong hari ini.
Justeru, Abang Johari menegaskan bahawa Sarawak tidak boleh mengambil hak Petronas.
Beliau menambah, dengan membangunkan industri minyak dan gas dengan teratur serta tersusun, Sarawak berjaya merekodkan pendapatan mencecah RM13 bilion pada tahun lalu.
Katanya Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Kewangan Kedua memberitahu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini Sarawak merekodkan pendapatan lebih RM4 bilion.
"Setahun ada 12 bulan, maknanya ada sembilan bulan lagi, kalau harga minyak dan gas seperti sekarang, saya percaya pendapatan kita boleh lebih lagi.
"Tetapi kita tidak bergantung sepenuhnya kepada minyak dan gas kerana kita ada cara mengurus ekonomi kita," katanya.
Menurutnya lagi, semua pihak bekerja keras berpaksikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang mementingkan teknologi dan pembangunan modal insan.
"Kalau orang kata kita pakai nasib sahaja, tidak bekerja tetapi mencapai kejayaan dinikmati sekarang, itu tidak benar.
"Usaha keras barisan pemimpin dan rakyat dalam memanfaatkan peluang serta sumber yang ada, Sarawak berjaya menaikkan hasil mencecah RM13 bilion sehingga membuatkan ada orang cemburu," tegasnya.
Bagi memastikan perancangan pembangunan ekonomi baharu Sarawak berjaya katanya, politik dan dasar negeri ini harus betul.
"Untuk mencari dana dan hasil negeri yang banyak, semua pihak mesti bersatu dan bekerja keras.
"Kita harus berjaga-jaga, sekarang sudah ada bunga-bunganya, ada pihak cuba mengganggu kita, jadi kita dalam GPS (Gabungan Parti Sarawak) tahu yang mana kaca, yang mana intan kerana niat kita adalah untuk rakyat," ujarnya.
Gambar Kredit JAPEN