Pengguna Lebuhraya Pan Borneo rasai keperitan tersangkut dalam kesesakan lebih 4 jam, mengapa perlu masuk Jakar?
SARIKEI -- Para pengguna Lebuhraya Pan Borneo di laluan Jakar semalam menempuh detik yang paling perit dalam hidup mereka akibat terkandas lebih empat jam di situ gara-gara laluan Lebuhraya Pan Borneo.
Keadaan itu menyebabkan laluan berkenaan penuh sesak dan lebih menyulitkan pengguna harus masuk ke Pekan Jakar.
Ini menjadi tanda tanya kebanyakan pengguna kerana disebabkan semua kenderaan perlu melalui pekan kecil itu, kesesakan berlaku akibat kereta keluar masuk dan berhenti di stesen minyak di situ.
Tambahan, orang ramai juga mula pulang selepas menyambut perayaan Hari Gawai menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo sama ada menuju ke Saratok, Sri Aman, Serian atau Kuching.
Difahamkan, laluan Sarikei-Jakar menuju ke Lebuhraya Pan Borneo belum siap sepenuhnya dan keadaan jalan raya masih sempit menyebabkan pergerakan agak perlahan.
Berkongsi detik perit itu, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Diana Rose memberitahu, mereka sekeluarga selamat tiba di Bintulu selepas empat jam 'tersangkut' di laluan Jakar semalam.
"Kami tiba di Bintulu sekitar jam 10.55 malam. Kami terperangkap dalam kesesakan di Sarikei lebih 4 jam. Kami ambil risiko untuk ke Bintulu dengan hanya 4 bar petrol di meter kereta kerana tiada stesen minyak di sepanjang laluan Pan Borneo selepas stesen minyak di Jakar tutup sebaik sahaja kami tiba di sana.
"Namun, kami berjaya sampai di Bintulu dengan '0' kilometer dan amaran petrol muncul pada meter kereta," kongsinya.
Katanya, itulah pengalaman paling perit mereka pernah tempuhi dan ditambah pula sikap segelintir pemandu yang memandu tidak bertanggungjawab.