Pemuda bunuh bapa saudara didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

KUCHING-- Seorang pemuda yang terlibat dalam kes pergaduhan hingga menyebabkan kematian bapa saudaranya dalam kejadian malang di Kampung Haji Baki di sini didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, tertuduh berusia 27 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini untuk pendakwaan.

"Tertuduh telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching dan telah dituduh divbawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

"Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan kematian terhadap mangsa seorang lelaki berusia 55 tahun di Jalan Haji Baki pada 3 Jun 2024 yang lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Jelasnya, mahkamah telah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 Julai 2024. 


"Selain itu, tertuduh juga tidak ditawarkan sebarang jaminan," ujarnya.

Hari ini, Mohd. Khairulnizam Abdullah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi hanya mengangguk faham.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, Majistret Zubaidah menetapkan 24 Julai 2024 sebagai sebutan semula kes. 

Tertuduh yang tidak dibenarkan dibebas dengan jaminan dan diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Puncak Borneo sementara menunggu tarikh tersebut.

Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa ASP Arman Ibrahim sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes disiasat oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Fadini Noni dan AIO Sjn Ridvaner Haddi. 
Next Post Previous Post