'Parking' sebarangan di laut juga kesalahan: APMM

KUCHING-- Bukan sahaja 'parking' sebarangan di darat satu kesalahan, namun di laut ia juga merupakan satu kesalahan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) iaitu bersauh di kawasan larangan. 

Beliau memberitahu, pada Selasa pihaknya telah menahan empat kru warga asing bersama sebuah kapal tangki di kedudukan 55 batu nautika barat laut Kuala Baram pada 5.34 petang Selasa menerusi kapal peronda Zon Maritim Bintulu ketika menjalankan Op Khas Naga Timur dan Ops Permai di perairan Miri.

"Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati, kapal tangki berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong serta tiga kru yang kesemuanya warga negara Indonesia.


"Kes akan disiasat di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) iaitu bersauh di kawasan larangan serta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak memiliki dokumen dan gagal memaklumkan pertukaran nakhoda secara bertulis," katanya dalam kenyataan.

Berikutan itu, tegasnya, kapal tangki bersama kesemua kru diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk tindakan lanjut.


"Maritim Malaysia terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pesalah yang ingkar," ujarnya.

Justeru, katanya, sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 untuk maklum balas segera.
Next Post Previous Post