Padah gurau guna pistol tiruan di Metrocity, tiga lelaki dicekup polis

KUCHING-- Tiga lelaki tempatan ditangkap bersama pistol tiruan di Matang, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, tiga suspek berusia 23 hingga 26 tahun itu ditangkap sekitar jam 2.30 petang oleh sepasukan polis dari Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

"Satu video yang tular berdurasi 13 saat daripada akaun Telegram berhubung kejadian seorang lelaki mengacukan pistol kepada seorang lagi lelaki yang berada di dalam 
sebuah kereta di kawasan parkir kenderaan Metrocity, Matang. 

"Turut dirampas adalah sepucuk pistol tiruan dan sebuah kereta jenis Perodua Axia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ahsmon, hasil soal siasat 
awal ke atas ketiga -tiga suspek, mengaku terlibat dalam video tular tersebut dan tujuan video dirakam hanya untuk gurauan sahaja.


"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai satu rekod lampau melibatkan jenayah kekerasan," ujarnya.

Tegasnya, kesemua suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 1 tahun, atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun, atau kedua-duanya, dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan," jelasnya.
Next Post Previous Post