Operasi PPK tangani isu penduduk Sarawak tidak mempunyai kewarganegaraan kini dijalankan di Beluru

KUCHING-- Operasi Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menangani isu penduduk Sarawak yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan sedang giat dijalankan di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam,Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil berkata, untuk di Daerah Beluru operasi PPK telah bermula 18 Jun lalu.


"Operasi di Dewan Masyarakat Beluru telah dijalankan dari 18 sehingga 20 Jun 2024. 

"Manakala di Dewan Serbaguna Rh Wen Magelit Lapok pula dari 22 hingga 24 Jun 2024," katanya dalam kenyataan di Facebooknya.


Sehubungan itu, Pengguang meminta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan terlibat hadir sama dalam operasi berkenaan di kawasan masing-masing.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kehadiran untuk satu permohonan adalah empat orang iaitu pemohon, saksi (penjamin) yang berumur 21 tahun ke atas dan memiliki kad pengenalan, Ketua Kaum (Tuai Rumah / Ketua Kampung / Kapitan) dan Ketua Masyarakat (Penghulu) di kawasan tersebut.


"Permohonan secara 'walk-in' juga diterima," tambahnya.

Oleh itu, katanya, penduduk kawasan Daerah Beluru yang ada masalah kewarganegaraan diharap tidak melepaskan peluang ini.


"Mereka yang belum ada dokumen pengenalan diri, bagi yang ada sijil lahir tetapi status kewarganegaraan belum ditentukan di dalam sijil kelahiran dan pemilik dokumen mykas (kad pengenalan diri warna hijau) diminta tidak melepaskan peluang ini," ujarnya.

Tegasnya, penduduk boleh menghubungi Penghulu atau Pejabat Daerah Beluru dan Pejabat Daerah Kecil Tinjar untuk keterangan lanjut.
Next Post Previous Post