Naik gaji penjawat awam, Sarawak tunggu PM umum Belanjawan 2025

KUCHING-- Kerajaan Sarawak hanya menunggu perincian daripada kerajaan persekutuan untuk melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam di Sarawak.

Perkara ini dijelaskan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memberitahu, kenaikan gaji penjawat awam di Sarawak akan dapat dilaksanakan selepas pengumuman Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya katakan sebelum ini perincian (pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam) daripada KL (kerajaan persekutuan) kerana kalau kita (Sarawak) laksana (dulu), takut tidak selari dengan KL.

"Apa yang diumum PM (kenaikan gaji penjawat awam) bergantung kepada bajetnya (Belanjawan 2025). Jadi kita tunggu perincian daripada KL dulu (sebelum melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam)," katannya semasa mengulas mengenai perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis ibadah korban, Jabatan Premier Sarawak di Wisma Sabati, Jalan Bako di sini hari ini.

Sebelum ini Abang Johari memaklumkan kajian terperinci sedang dijalankan untuk menaikkan gaji penjawat awam di Sarawak.

Ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan gaji melebihi 13 peratus untuk penjawat awam Persekutuan, mulai Disember ini.

Beliau memberitahu, kajian itu perlu dilakukan agar kenaikan gaji lebih kompetitif selaras dengan tugas dan tanggungjawab penjawat awam Sarawak serta kekuatan kewangan kerajaan Sarawak.

"Insya-Allah, saya akan mengumumkan hasil kajian pelarasan gaji penjawat awam negeri dalam tempoh terdekat.

"Bagaimanapun ia tertakluk kepada perincian pelarasan gaji yang akan dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan yang dijangka diketahui hanya dalam Bajet Persekutuan hujung tahun ini," katanya.

Pada sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan 1 Mei lalu, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini.

Beliau berkata, kenaikan itu yang tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara membabitkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Next Post Previous Post