MA63: Kabinet perlu muktamadkan isu perbezaan tafsiran dari sudut bidang kuasa

KUCHING-- Kabinet harus memuktamadkan perbezaan yang terdapat dalam tafsiran dari sudut bidang kuasa seperti sempadan dan tanah di peringkat negeri Sabah, Sarawak serta Persekutuan.



Perkara ini dijelaskan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang memberitahu isu itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Di Bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikannya pada 28 Mei lepas.


Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, mengambil contoh isu berkaitan pelantar benua (Continental Shelf), Sarawak memiliki tafsirannya sendiri kerana negeri ini sudah ada perundangan sendiri dan sempadan negeri sebelum penubuhan Malaysia.

"Namun, terdapat perbezaan tafsiran dari sudut perundangan di peringkat Persekutuan. 

"Jadi perkara seperti ini perlu dibawa ke Kabinet untuk ditentukan apakah arah tujunya. 

"Ada perkara yang agree to disagree, maknanya ‘dipersetujui’ tapi tak dipersetujui secara muktamad."


"Isu berkaitan cukai duti stem juga belum dipersetujui, ini yang saya katakan 'agree to disagree'.  

"Tafsiran Sarawak ialah tanah adalah bidang kuasa negeri (tetapi) disebut dalam Perlembagaan, cukai duti stem ialah (kuasa) Persekutuan. Jadi itu satu lagi tafsiran yang berbeza ,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Bot Naga, di Surau Al-Ansar, Taman Yen Yen, di sini, hari ini. 


Tambah Fadillah, situasi ini sama dengan beberapa perkara yang telah dipersetujui seperti isu pendidikan dan kesihatan di Sabah dan Sarawak yang kini perlu mendapat kelulusan dan pengesahan.

Jelas beliau, perkara lain yang tidak dipersetujui perlu dibincangkan dengan lebih lanjut mengenai cara menyelesaikannya kerana ia mempunyai pandangan undang-undang yang berbeza di peringkat persekutuan dan tafsiran di peringkat negeri.


Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu pihaknya sedang berusaha memastikan sungai-sungai tercemar di Sarawak dikeluarkan kategori sungai tercemar.

Tegasnya, kementeriannya telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan Sungai Miri dan Sungai Daro dapat dikeluarkan daripada kategori sungai tercemar.


“Kita sudah sedari bahawa ada sungai-sungai yang sangat tercemar jadi kita mengambil langkah untuk pastikan sungai tercemar akan keluar daripada kategori sungai tercemar kepada kategori sungai sederhana.

“Selepas itu ia akan keluar daripada kategori sungai sederhana kepada sungai yang bersih. 


“Sekurang-kurangnya data itu kita ada dan dengan data itu kita akan meneliti tindakan yang patut kita ambil untuk mengeluarkan sungai tercemar kepada kategori sungai sederhana,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menyeru rakyat Sarawak untuk sentiasa mengekalkan semangat perpaduan dalam menyambut pelbagai perayaan tidak mengira kaum, agama atau bangsa.


“Rakyat Sarawak harus menganjurkan lebih banyak program untuk mengeratkan hubungan dan memperkukuhkan perpaduan supaya kita dapat hidup bersama dalam harmoni,” ujarnya.

Turut hadir Datin Sri Ruziah Mohd Tahir dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Kho Teck Wan.
Next Post Previous Post