Lelaki warga emas rentung, kereta terbakar di Batu Niah

MIRI-- Seorang lelaki warga emas rentung dalam insiden kebakaran melibatkan sebuah kereta Proton Wira Aeroback di jalan masuk ke estet perladangan di Batu Niah malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa dikenali sebagai Chen Kian Seong, 63, beralamat di Bandar Baru Permayjaya, Miri.


Katanya, bomba menerima panggilan berhubung kebakaran sebuah kereta sekitar jam 11.05 malam dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah ke lokasi.

"Sampai lokasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah kenderaan Proton Wira Aeroback telah terbakar 100 peratus dan api telah padam sepenuhnya sebelum pasukan Bomba tiba di lokasi. 


"Setelah melakukan pemeriksaan, terdapat seorang mangsa rentung di tempat duduk pemandu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, tiada operasi pemadaman dilakukan dan pasukan hanya bertindak membantu mengeluarkan mayat mangsa rentung daripada kenderaan.

"Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," ujarnya.
Next Post Previous Post