Lelaki cedera di muka akibat dipukul sekumpulan individu di Sibu

SIBU-- Seorang lelaki cedera di muka dipercayai dipukul sekumpulan individu di belakang Wisma Sanyan di sini malam tadi.

Mangsa dipercayai diikuti oleh sekumpulan 10 individu sebelum dia dipukul.


Malah, kereta milik mangsa turut mengalami kerosakan akibat dipukul kumpulan terbabit menggunakan batang besi dan kayu.


Difahamkan, mangsa sempat memanggil rakannya sebelum kumpulan terbabit melarikan diri dari lokasi menggunakan kereta.

Akibat kejadian itu, mangsa dikatakan tampil ke Balai Polis Sentral Sibu untuk membuat laporan dalam keadaan cedera.

Susulan kecederaan yang dialami mangsa, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sibu dipanggil bagi memberi rawatan kepada mangsa.


Menurut APM Sibu, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 10.58 malam tadi.

"Sampai dilokasi, penilaian awal pada mangsa yang duduk dibangku dan berlumuran darah di bahagian muka akibat kesan dipukul. 

"Mangsa mengalami luka terbuka di bahagian tepi mata di sebelah kanan dan anggota bertindak memberi rawatan kepada mangsa," katanya.


Selepas itu, katanya mangsa dibawa oleh anggota polis ke Hospital Sibu untuk rawatan selanjutnya.

Setakat ini kes masih dalam siasatan polis.
Next Post Previous Post