Kolej teknologi Islam HIKMAH akan dibangunkan, sediakan tempat untuk tahfiz lanjutkan pengajian tinggi
KUCHING-- Sebuah kolej teknologi Islam di bawah Harakah Islamiah (HIKMAH) bakal dibangunkan di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, institusi pengajian tinggi itu bagi membolehkan para pelajar tahfiz di negeri ini melanjutkan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.
Jelasnya, kolej yang dikenali sebagai Kolej Teknologi Islam HIKMAH (HiTec) itu akan menawarkan program yang berdasarkan teknologi termasuk digitalisasi, multimedia dan angkasa lepas di peringkat diploma.
"Kita (HIKMAH) akan bangunkan bangunan baharu untuk Sekolah Rendah Tahfiz HIKMAH, selepas itu mereka akan meneruskan pendidikan ke Sekolah Menengah Tahfiz HIKMAH juga dan seterusnya mereka akan melanjutkan pengajian tinggi di HiTec.
"Di HiTec, mereka boleh mengambil jurusan dunia seperti teknologi maklumat dan disiplin-disiplin yang ada kaitan dengan teknologi.
"Maknanya, mereka adalah Hafiz Al-Quran dan menghayati semangat Al-Quran di samping itu dapat meneruskan pelajarannya dalam bidang-bidang teknologi yang sangat berguna untuk umat manusia," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Majlis Perasmian Perhimpunan Perwakilan Tiga Tahun Sekali Harakah Islamiah (HIKMAH) kali ke-21 (2023-2026) di sini hari ini.
Mengulas lanjut kos untuk membangunkan Sekolah Rendah Tahfiz, Abang Johari menjelaskan ia dianggarkan menelan kos sekitar RM40 juta.
"Sekolah lebih kurang dalam RM40 juta, kos untuk HiTec adalah lebih besar lagi.
"Namun, HIKMAH mempunyai sumber kewangan sendiri, tidak dibiayai oleh kerajaan," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru pemimpin Islam di negeri agar bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini, khususnya dalam bidang sains.
Tegasnya, bidang sains perlu diambil kira dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi di peringkat global.
Sementara perhimpunan itu dihadiri seramai 200 perwakilan dan pemerhati dari 13 cawangan HIKMAH iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri, Limbang dan Wilayah Persekutuan.
Perhimpunan ini juga merupakan wadah terbaik untuk para perwakilan dan pemerhati untuk menyampaikan idea-idea, saranan-saranan dan usul-usul bagi mencorakkan langkah dan perjalanan HIKMAH agar terus berperanan dalam pembangunan ummah.