Kes curi dua meriam selesai, tiga suspek ditangkap

KUCHING-- Tiga lelaki tempatan ditangkap disyaki terlibat kes curi perhiasan meriam tembaga milik di sebuah hotel di Ban Hock, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 36 tahun ditangkap pada 9 Jun lalu di lokasi berasingan iaitu di Jalan Penrissen Kota Sentosa, Jalan Kuching Serian dan Jalan Astana.

"Ketiga-tiga suspek ditangkap oleh pasukan polis dari Counter Aggressive Team (CAT), IPD Kuching kerana disyaki kes kecurian dua buah perhiasan meriam tembaga di sebuah hotel di Ban Hock, yang dilaporkan pada 5 Jun 2024 mengakibatkan kerugian lebih kurang RM2,000.

"Turut dirampas adalah dua buah perhiasan meriam tembaga dan sebuah kereta yang digunakan sewaktu melakukan jenayah curi," katanya pada sidang media di IPD Kuching hari ini.

Kata Ahsmon, hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amp/meth.

Tambahnya dua daripada suspek memiliki 10 dan dua rekod lampau melibatkan jenayah dadah dan kekerasan.

"Kesemua suspek kini ditahan reman dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuching pada 14 Jun 2024 di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 7 tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya," tegasnya.

Justeru, beliau menyeru orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi pusat kawalan IPD Kuching di talian 082- 244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis yang berhampiran.
Next Post Previous Post