Kes buli di Spaoh, polis sahkan terima laporan

BETONG-- Polis Betong mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes buli melibatkan seorang mangsa yang berlaku di Spaoh, di sini.

Ketua Polis Daerah Betong DSP Zamry Alli berkata, pada jam 8 pagi Ibu Pejabat Polis (IPD) Betong telah mengesan satu penyebaran rakaman video melalui media sosial iaitu Tiktok dan Facebook berkenaan kejadian seorang remaja lelaki telah ditampar beberapa kali di bahagian muka dan kepala oleh seorang individu. 


"Di dalam rakaman video yang tular tersebut juga telah memaparkan beberapa remaja lelaki turut berada di tempat kejadian. 

"Pihak polis IPD Betong mengesahkan kejadian tersebut berlaku di kawasan Spaoh, Betong.

"Mangsa juga telah tampil ke Balai Polis Betong untuk membuat laporan mengenai insiden yang berlaku di dalam video tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini

Jelasnya, polis telah membuka satu kertas siastan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Tegas Zamry, jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan boleh diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Tambahnya, kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan pula boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau atau kedua-duanya.


"Manakala bagi kesalahan di bawah Seskyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Saya meminta semua pihak termasuk masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden tersebut kerana kes masih dalam siasatan pihak polis," ujarnya.
Next Post Previous Post