Kemalangan berantai di Siniawan, dua beranak maut, pemandu lori 'ghaib'

KUCHING-- Dua beranak maut dalam kemalangan berantai melibatkan empat kenderaan di Jalan Taman Siniawan, Bau, petang tadi. 

Dalam kemalangan tragis itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Atong Nebok, 64, dan anaknya Wilson Atong, 36.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada jam 2.54 petang dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi.

"Setibanya di lokasi mendapati berlaku kemalangan berantai melibatkan sebuah lori, van dan dua kereta yang mana terdapat dua mangsa tersepit dalam kereta Kancil.


"Kemudian pasukan membuat operasi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit itu," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kedua-dua mangsa tersepit berjaya dikeluarkan bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi kemalangan.


Sementara itu, katanya, mangsa kemalangan lain yang cedera dikejarkan ke Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan.

Mayat dua beranak itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Punca kemalangan masih dalam siasatan polis.


Sementara itu, menurut sumber, kemalangan itu dipercayai berlaku sekitar jam 2.15 petang tadi melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah treler, sebuah lori, kereta jenis Proton Persona, kereta Perodua Kancil dan sebuah van.

Jelasnya, kesemua kenderaan terlibat bergerak dari arah yang sama iaitu dari Bau ke Kuching.

Menurut salah seorang wanita, 21, yang merupakan pemandu kereta Persona, kesemua kenderaan terlibat sedang bergerak dan secara tiba-tiba keretanya dirempuh di arah belakang.


Wanita terbabit dikatakan turun dari keretanya untuk melihat keadaan keretanya.

Kenderaan yang paling belakang iaitu lori telah merempuh kereta Kancil di hadapan lori terbabit yang menyebabkan warga emas terbabit bersama anak tersepit dalam kereta.

Manakala Kancil terbabit merempuh pula van di hadapannya dan van terbabit merempuh kereta Persona berkenaan dan kereta Persona itu pula melanggar treler di hadapannya.

Pemandu lori yang terlibat dikatakan telah melarikan diri selepas kemalangan itu. 

Disebabkan itu, rakan kepada pemandu wanita yang datang ke lokasi terpaksa mengalihkan lori terbabit.
Next Post Previous Post