Kekayaan sumber mineral Sarawak harus diurus dengan baik-Abang Johari

KUCHING-- Kekayaan sumber mineral Sarawak mencecah lebih daripada RM1.25 trilion yang bakal menjadi penyumbang kepada pendapatan negeri harus ditadbir urus dengan baik agar tidak menjejaskan alam sekitar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebab itu kerajaan Sarawak menghantar delegasi yang diketuai Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ke Kanada baru-baru ini.

"Sarawak ada potensi dalam industri sumber mineralnya, sebab itu kita mesti ada satu kajian yang menyeluruh mengenai industri perlombongan (mineral) ini.

"Oleh itu, saya telah menghantar delegasi Sarawak ke Kanada kerana Kanada merupakan negara terbaik di dunia dalam pengurusan sumber mineral yang dieksplorasi tanpa menjejaskan alam sekitar.

"Pada masa sama mereka (Kanada) memulihara semula sumber mineral ini dengan baik," katanya ketika mengulas mengenai hasil daripada kajian Jabatan Geologi yang menganggarkan nilai mineral yang ada di Sarawak mencecah lebih daripada RM1.25 trilion.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis ibadah korban, Jabatan Premier Sarawak di Wisma Sabati, Jalan Bako di sini hari ini.

Mengulas lanjut Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai potensi dalam industri perlombongan dengan rizab mineral yang kaya dan mampu mengeluarkan grafit.

“Sarawak ada potensi yang banyak, malah kita mungkin boleh mengeluarkan grafit, dalam pemprosesan hiliran mineral ia bercampur untuk mewujudkan satu produk yang baharu.

“Biojism yang ada di Sarawak mempunyai ciri-ciri tertentu yang boleh mengeluarkan grafit. Grafit adalah satu bahan kimia yang dikehendaki dalam sel bahan api dan hidrogen," katanya.

Tambahnya, industri perlombongan mineral di Sarawak tidak akan mengeksploitasi sumber secara berlebihan dan hanya mengambil hasil sampingan yang bernilai.

Semalam Awang Tengah memberitahu, Sarawak mahu membangunkan industri perlombongan mineralnya selain minyak dan gas selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kajian telah dibuat melibatkan 32 peratus daripada keseluruhan 12.4 juta hektar keluasan tanah Sarawak. 

Katanya, hasil daripada kajian Jabatan Geologi itu, dianggarkan nilai mineral yang ada mencecah lebih daripada RM1.25 trilion.

“Jadi kita akan perluaskan lagi kajian kita, kalau tidak dapat seluruh Sarawak sekurang-kurangnya tambahan 20 peratus keluasan tanah lagi. 

“Mineral kita banyak tetapi kajian terperinci perlu dijalankan kerana potensi untuk itu sangat besar,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Ibadah Korban di Surau Wakaf Taman Indah, Bandar Baru Samariang di sini semalam.

Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata selain emas, antara mineral yang terdapat di negeri ini ialah boksit, pasir silika, batu kapur dan nadir bumi. 

Awang Tengah menjelaskan sektor perlombongan di Kanada merupakan satu sektor ekonomi yang menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu. 

Malah katanya, ia memberi peluang pekerjaaan yang begitu banyak selain impak sosioekonomi yang besar kepada masyarakatnya. 

“Inilah yang kita hendak pelajari, pertama dari segi undang-undang, kedua pengurusan dan operasi, ketiga amalan teknologi yang digunakan dan keempat penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya. 
Next Post Previous Post