Istimewa Sarawak: Semua kaum duduk dan makan semeja, rai perayaan bersama -Fadillah
KUCHING-- Keistimewaan Sarawak yang mana rakyatnya tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik boleh duduk, makan dan meraikan setiap perayaan bersama harus dipertahankan.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, keistimewaan itu menjadikan Bumi Kenyalang contoh dalam soal toleransi, keharmonian dan perpaduan di Negara ini.
"Istimewanya Sarawak ialah tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, semua kaum boleh duduk bersama, makan bersama dan meraikan apa juga perayaan bersama-sama, sehingga Bumi Kenyalang menjadi contoh dalam soal toleransi, keharmonian dan perpaduan di Negara ini.
"Semoga perayaan Gawai Dayak tahun ini membawa tuah dan rezeki yang lebih baik kepada masyarakat Dayak di Sarawak, sekaligus memperkukuhkan lagi hubungan kekeluargaan dan persaudaraan serta perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
"Selamat menyambut Hari Gawai Dayak kepada seluruh masyarakat Dayak khususnya di Sarawak dan di mana sahaja mereka meraikannya. Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai Lantang Senang Nguan Menua," katanya dalam perutusan Hari Gawai Dayak 2024.
Tambah Fadillah, sambutan pesta tradisi itu disambut etnik Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, bagi meraikan berakhirnya musim menuai.
Jelasnya, ia mencerminkan kekayaan warisan tradisi masyarakat Dayak dan menjadi lambang kesatuan dalam kepelbagaian di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
"Gawai Dayak adalah perayaan yang mengangkat identiti masyarakat Dayak keseluruhannya dan ia amat penting untuk kita meraikan perpaduan yang menjadi teras ke arah kemakmuran bersama," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing memandu berhati-hati dan selamat tiba di destinasi yang ditujui.
"Kepada mereka yang memandu atau menaiki bot, mahupun yang menaiki penerbangan, untuk balik ke kampung halaman atau rumah panjang bagi meraikan Hari Gawai bersama keluarga tercinta, saya doakan semoga anda semua selamat sampai ke destinasi masing-masing," ujarnya.