Hak Sarawak ke atas pelantar benua, sempadan, perairan dan duti setem ikut peruntukan Perlembagaan

KUCHING-- Hak Sarawak ke atas pelantar benua, keluasan sempadan negeri, perairan dan duti setem adalah berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negeri dan persekutuan, tegas Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Katanya, bagi sempadan Sarawak, berdasarkan '(Alteration of Boundaries) Order in Council' bertarikh 24 Jun 1954, sempadan Sarawak telah diperluaskan bagi membolehkannya meliputi dasar laut dan tanah bawah kawasan itu yang membentuk pelantar benua di bawah laut lepas.

"Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa wilayah Sarawak hendaklah menjadi wilayah seperti pada Hari (pembentukan) Malaysia.

"Wilayah Sarawak pada 16 September 1963 termasuk dasar laut dan tanah bawah kawasan yang membentuk pelantar benua di luar pantai Sarawak.

"Justeru, hak Sarawak ke atas pelantar benua, keluasan sempadan Negeri, perairan dan duti setem adalah berdasarkan peruntukan perlembagaan serta undang-undang negeri dan persekutuan berkaitan yang jelas dan mengakui tiada ruang untuk tafsiran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang mengatakan kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak mempunyai pandangan dan tafsiran yang berbeza dalam isu-isu seperti pelantar benua, sempadan negeri dan duti setem.

Hasidah menambah, di bawah Kanun Tanah Negeri Sarawak, undang-undang undang-undang pra-Malaysia, kesahihan dan kesannya berterusan selepas pembentukan Malaysia mengikut Seksyen 73 Akta Malaysia 1963 iaitu dasar laut dan tanah bawah dalam sempadan yang dilanjutkan oleh Order in Council adalah tanah Negeri.

"Mengikut Perkara 2 Senarai II (Senarai Negeri) dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, Tanah adalah perkara di bawah kuasa perundangan dan eksekutif Negeri," tegasnya.

Tambahnya lagi, di bawah Perkara 2(c) Senarai II, pihak berkuasa perundangan dan eksekutif meliputi permit dan lesen untuk melombong (melakukan aktiviti melombong); pajakan dan pensijilan perlombongan.

Bagaimanapun, katanya, Perkara 8(j) Senarai I (Senarai Persekutuan) memperuntukkan tertakluk kepada perkara 2(c) dalam Senarai Negeri:
Pembangunan sumber-sumber mineral; lombong, perlombongan, mineral dan bijih galian; minyak dan ladang minyak;…

Disebabkan itu, tegasnya, peruntukan perlembagaan yang tidak jelas ini menunjukkan bahawa pembangunan minyak dan medan minyak di Sarawak, adalah tertakluk kepada pajakan perlombongan atau sijil yang dikeluarkan oleh Negeri di bawag Perkara 2(c) Senarai Negeri.

Katanya, Ordinan Perlombongan Minyak Negeri 1958 memperuntukkan pengeluaran lesen cari gali minyak, pajakan atau pensijilan perlombongan untuk cari gali dan perlombongan petroleum.

Menurut beliau lagi, kerajaan Sarawak mempunyai kewajipan perlembagaan untuk memastikan semua hak dan kuasa perlembagaan milik negara tidak terhakis dan dihormati sepenuhnya.

"Hak dan kuasa perlembagaan sedemikian tidak boleh terjejas melalui tujuan tafsiran mengenai peruntukan perlembagaan atau undang-undang yang jelas dan tidak jelas.

"Oleh yang demikian, kerajaan Sarawak akan terus mengadakan libat urus dengan kerajaan persekutuan dalam melaksanakan hak dan kuasa perlembagaan tersebut untuk faedah negara serta menggalakkan kesejahteraan ekonomi dan kemajuan persekutuan," ujarnya.
Next Post Previous Post