Geng Piji tumpas, ketua geng miliki 19 rekod jenayah
KUCHING-- Polis berjaya menumpaskan "Geng Piji", sindiket yang terlibat dan aktif dalam kes curi kabel, kenderaan dan pecah rumah di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, seramai 12 individu ditangkap termasuk ketua sindiket, berusia 20 hingga 30 tahun.
"Ketua kumpulan ini yang berusia 26 tahun mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan samun dan pecah rumah, 5 kes curi kenderaan dan 3 kes berkaitan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di sini hari ini.
Tambah Ahsmon,sindiket ini dipercayai menjadi pembekal kenderaan curi untuk dijual ke pasaran negara jiran.
Mengulas lanjut kes itu, beliau memberitahu ketua kumpulan terbabit ditangkap pada 23 Mei lalu sepasukan polis dari Counter Aggressive Team (CAT), IPD Kuching di Jalan Sultan Tengah berikutan kes pecah rumah dan curi kenderaan di Taman Long Seng, Kuching yang dilaporkan pada 19 Mei 2024 dengan kerugian lebih kurang RM90,000.
"Bertindak atas maklumat dari suspek, pihak polis berjaya menangkap 11 orang lagi anggota kumpulan Piji yang terdiri dari lelaki tempatan berumur lingkungan 20-an hingga 30-an.
"Kejayaan tangkapan ini berjaya menyelesaikan sebanyak sembilan kes pecah rumah, curi kenderaan dan curi kabel serta dua kes samun di sekitar kawasan Kuching," jelasnya.
Menurutnya lagi, sepuluh daripada suspek telah dituduh sejak 6 Jun 2024 dengan pelbagai kesalahan jenayah harta benda, kekerasan dan juga dadah.
Tegas beliau, polis akan terus membanteras saki baki kumpulan tersebut jika masih ada.
"Kumpulan ini sudah berapa kali ditumpaskan tetapi kembali aktif, namun kita akan pastikan kumpulan ini dibanteras habis-habisan.
"Sebab itu, kita akan memohon agar ketua kumpulan ini tidak dibebaskan sehingga dia dijatuhkan hukuman kerana dia pernah lari dan tidak hadir ke mahkamah dalam kes suspek sebelum ini.
"Dalam tempoh dia menghilangkan diri sebelum ini suspek berjaya mengumpul pengikutnya dan ini harus kita tegahkan," tegasnya.
Dalam kes berasingan, Ahsmon berkata, seorang lelaki berusia 42 tahun ditangkap pada 12 Jun lalu di sebuah rumah di Jalan Urat Mata di sini.
"Suspek dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Jalan Kedandi Tabuan Jaya pada 11 Jun 2024 dengan kerugian lebih kurang RM25,200.
"Turut dirampas adalah pelbagai barang kemas dan dua plat bar emas seberat 5 gram dan satu plat bar emas seberat 10 gram yang dilaporkan hilang bersabit kes ini.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek memiliki tiga rekod lampau melibatkan jenayah dadah dan kekerasan," jelasnya.
Tambahnya, suspek kini ditahan reman dan dituduh di Mahkamah Majistret Kuching hari ini di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 14 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda.