Batang Ai lokasi pertama di Malaysia hasilkan tenaga elektrik daripada hidro dan solar

SRI AMAN-- Empangan hidroelektrik Batang Ai akan mengeluarkan tenaga 158 megawat jika projek solar terapung di situ siap sepenuhnya, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau memberitahu, setakat ini projek itu telah mencapai 30 peratus siap dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.

"Kita sedia maklum Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang melaksanakan satu projek yang sangat penting dan strategik untuk kita menambahkan tenaga yang boleh diperbaharui melalui solar terapung 

"Saya telah difahamkan projek ini akan siap tidak lama lagi dan ketika ini projek ini sudah mencapai 30 peratus.


"Ini bermakna bahawa ia akan siap dalam sedikit masa lagi dan pengeluaran tenaga daripada solar terapung ini ialah 50 megawat dan sekarang Empangan Hirdo Batang Ai ini menjana kuasa 108 megawat, bermakna kalau ini siap Batang Ai akan mengeluarkan 158 megawat tenaga daripada hidro dan solar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke tapak Solar Terapung di Batang Ai, Sri Aman hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, projek solar terapung yang dibina itu melibatkan keluasan 2 peratus daripada 8,500 hektar keluasan empangan hidro Batang Ai.

"Ini menjadi satu kawasan yang pertama di Malaysia yang mengeluarkan hidro dan juga solar.


"Saya mengucap tahniah dan syabas kepada SEB daripada CEO hingga kakitangannya atas kerja keras anda semua dalam usaha menghasilkan tenaga tambahan melalui projek solar terapung ini," tambahnya.

Selain itu, beliau turut berkongsi perkiraannya dari sudut angka berkaitan potensi projek solar terapung itu.

"Saya telah mengkaji dari sudut beberapa angka yang mana Batang Ai ini mempunyai keluasan lebih kurang 8,500 hektar dan kawasan yang digunakan untuk solar terapung hanya 86 hektar sahaja iaitu lebih kurang 2 peratus daripada seluruh kawasan Batang Ai.


"Jadi sudah tentu ada ruang untuk kita menambah lagi penjanaan tenaga yang menggunakan solar ini. Saya membuat perkiraan saya sendiri kalau kita menggunakan 60 peratus daripada 8,500 hektar, potensi keluaran tenaga melalui solar ini lebih kurang 2,000 megawat.

"Jadi saya telah berkongsi dengan SEB untuk kita membuat perancangan supaya Batang Ai ini boleh kita tingkatkan dengan pelaburan sama ada daripada syarikat asing kerana kita sudah meminda undang-undang kita yang membolehkan pihak swasta melabur dalam penajaan kuasa, bermakna sudah ada ruang untuk kita melabur di kawasan Batang Ai dan menambah kapasiti pengeluaran tenaga hingga 2,000 megawat atau 2 gigawat," tegasnya.

Menurutnya, ini sudah tentu membolehkan Sarawak mempunyai tenaga hijau lebih kurang 2500 megawat dari Batang Ai saja.

"Saya rasa SEB akan membuat kajian tentang cadangan ini. Saya rasa juga teknologi juga akan dipertingkatkan terutamanya untuk penyimpanan tenaga ini dan dengan itu Batang Ai ini akan mempunyai pembangunan tenaga yang menyeluruh," ujarnya.
Next Post Previous Post