Warga Indonesia bunuh lima tetamu majlis perkahwinan kekal ke tali gantung
KUCHING-- Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas seorang lelaki warga Indonesia yang disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh lima tetamu majlis perkahwinan di sebuah rumah panjang di Song pada 2007.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak permohonan Nyambang Entuhan, 53, untuk mempertimbangkan hukuman alternatif kepada hukuman mati.
Rhodzariah semasa membaca keputusan sebulat suara itu memberitahu berdasarkan keseluruhan bukti kes tersebut rayuan Nyambang terhadap keputusan yang telah dijatuhkan itu tidak mempunyai merit.
Pada 7 Mei 2010, Mahkamah Tinggi di Sibu menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap Nyambang kerana membunuh lima tetamu majlis perkahwinan di sebuah rumah panjang dalam daerah Song.
Pesuruhjaya Kehakiman Ravinthran Paramagur turut menjatuhi tambahan hukuman penjara 22 tahun terhadap Nyambang kerana mengakibatkan kecederaan pada sembilan tetamu majlis itu dan memiliki senjata api serta peluru secara tidak sah.
Nyambang yang berkahwin dengan anak perempuan tuai rumah panjang tersebut kelihatan tenang ketika hukuman itu dibacakan.
Dia didapati bersalah atas lima tuduhan bunuh di rumah panjang Rumah Enchan, Sungai Engkabau, daerah Song di ruai rumah itu (satu ruang antara beranda dan bilik) dan bilik (terletak antara ruai dan dapur) pada 6 Jun 2007.
Lima mangsa yang terkorban ialah Gram George, Meluda Imin, Jimbun Ngindang, Paulus Ilu, dan Galau Ilu.
Nyambang dijatuhi hukuman penjara 18 tahun setelah didapati bersalah mengakibatkan kecederaan parah kepada sembilan lagi tetamu majlis berkenaan, dan penjara empat tahun kerana memiliki senjata api dan peluru.
Ketika membacakan penghakimannya, Ravinthran berkata pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh, dan memerintahkan supaya hukuman penjara dilaksanakan mulai tarikh dia ditangkap pada 7 Jun 2007.
Berdasarkan fakta kes, pada 6 Jun 2007, tertuduh menghadiri majlis jamuan perkahwinan di Rumah Enchan. Tuai rumah panjang itu, Lucas Baru, diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan.
Antara lain, Luca berkata beliau tidak menggalakkan anak-anak buahnya supaya berkahwin dengan warga Indonesia memandangkan mereka tidak mempunyai kad pengenalan.
Mendengar kata-kata itu, Nyambang, yang duduk di ruai, kelihatan marah dan berjalan menuju ke ruai kepunyaannya lalu menghilangkan diri.
Tidak lama kemudian, tetamu yang masih menikmati makanan dan minuman di ruai, terkejut apabila melihat tertuduh melepaskan tembakan ke arah mereka.
Lima tetamu terbunuh akibat kecederaan di seluruh badan manakala sembilan lagi cedera dalam insiden itu.
Mangsa yang cedera dibawa ke Klinik Song untuk mendapatkan rawatan segera dan kemudian dipindahkan ke Hospital Kapit.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fuad Abdul Aziz, manakala perayu diwakili seorang peguam lantikan mahkamah.