Sarawak berhasrat ambil alih kuasa tadbir urus pengurusan buangan terjadual pada 2025
KUCHING-- Sarawak berhasrat mengambil alih kuasa tadbir urus berkaitan dengan pengurusan buangan terjadual bermula pada tahun 2025.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hasrat itu merupakan fasa pertama
proses 'Transfer of Autonomy on Environment' atau penurunan autonomi berkaitan alam sekitar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan dijalankan secara berfasa.
"Dalam fasa pertama, kerajaan Sarawak berhasrat mengambil alih kuasa tadbir urus berkaitan dengan pengurusan buangan terjadual (Scheduled Wastes) bermula pada tahun 2025.
"Manakala aspek pengurusan efluen industri, kawalan kualiti udara dan pengurusan EIA akan diambil alih pada fasa berikutnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada persidangan DUN, hari ini.
Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, bagi memperkasakan pelaksanaan penurunan autonomi itu, satu rangka kerja pelaksanaan telah disediakan dan diperaku oleh Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB)pada 2 Ogos 2023.
Jelasnya, rangka kerja tersebut yang berada di bawah seliaan Kementerian ini terdiri daripada Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal serta empat Jawatankuasa Kerja yang masing-masing bertanggungjawab berkenaan perkara Perundangan, Sumber Manusia, Pembangunan Sistem dan Infrastruktur.
Dari segi perundangan, katanya kerajaan Sarawak dalam proses meminda the Natural Resources and Environment Ordinance [Cap.84 (1958 Edition)] dengan menambah peruntukan-peruntukan yang berkaitan sebagai punca kuasa bagi membolehkan NREB mengambil alih kuasa autonomi alam sekitar yang menyeluruh dari kerajaan persekutuan.
"Kerajaan Sarawak juga telah meluluskan penyusunan semula organisasi dan keperluan sumber manusia bagi memastikan jumlah tenaga kerja yang mencukupi dan kompeten.
"Pegawai-pegawai NREB turut didedahkan dengan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual), 2005," jelasnya.
Menurutnya lagi sekiranya wujud keperluan untuk peminjaman atau penyerapan tenaga kerja dari JAS Sarawak ke NREB, ia akan dibincangkan serta diteliti secara bersama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan JAS Malaysia terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan.
Selain itu, katanya NREB juga sedang membangunkan 'Environmental Information System Sarawak' (EnvISS) yang merupakan sistem pengurusan sisa buangan terjadual yang setara dengan yang diguna pakai oleh JAS.
"Ia seperti 'Electronic Scheduled Waste Information System' (eSWIS), Mypremis dan Elektronik Kualiti Alam Sekitar (eKAS)," ujarnya.