Luar bangunan berkulat, cat pudar cemar imej Miri bandar raya peranginan
MIRI— Walaupun Miri digelar bandar raya peranginan, namun banyak bangunan komersial dan industri di sini dibiarkan terabai dengan keadaan dinding luarnya yang berkulat, retak selain cat yang pudar menyakitkan mata memandang.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) kesal dengan sikap sambil lewa pemilik bangunan dan penyewa yang tidak peduli untuk menyelenggara luar bangunan tersebut.
Cat dinding luar bangunan komersial di sekitar Jalan North Yu Seng dan Jalan Merbau yang kelihatan pudar dan mengelupas selain berlumut menyakitkan mata memandang. Gambar Borneo Network |
Beliau berkata, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku ketika MBM sedang meningkatkan usaha mempromosi Miri sebagai destinasi untuk pelancongan, perniagaan dan hab kediaman baharu menjelang 2030.
“Pemeriksaan MBM mendapati hampir semua permukaan luar bangunan komersial dan industri di pusat komersial ini diabaikan dalam keadaan usang.
“Pergilah mana-mana sahaja di kawasan pusat komersial, hampir semua dinding luar bangunan dibiarkan berkulat, cat pudar, berlumut selain permukaan yang retak serta berlubang,” katanya ketika dihubungi Borneo Network semalam.
Sebelum ini, Yii yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata, pemilik bangunan terutama di kawasan tumpuan pelancong sewajarnya mengambil inisiatif menjaga keindahan untuk menarik pelanggan yang berpotensi dalam pasaran hartanah.
“Sebahagian bangunan ini dibiarkan kosong, manakala yang berpenghuni pula tidak dicat semula kerana kos yang tinggi.
“Apabila bercakap tentang bandar raya Miri, keselamatan dan estetika adalah sangat penting. Pelabur dan pelawat semasa yang berpotensi akan cenderung untuk melihat kebolehpercayaan dan keseriusan MBM dalam penampilan dan faktor estetik,” katanya.
Sementara itu, MBM akan mengeluarkan notis kepada pemilik atau penyewa sebagai amaran untuk mengecat semula dan menyelenggara bangunan dalam masa yang ditetapkan.
Jika gagal berbuat demikian, pemilik atau penyewa akan didenda RM500 selain denda tambahan RM100 sehari sehingga arahan dipatuhi mengikut By-Laws 24 of The Local Authorities (Cleanliness) By-Laws, 1999 and By-Laws 21 Part IV of Building By-Laws, 1994.