Lelaki maut terpelanting ke dalam parit, motosikal ditunggang bertembung kereta
BAU -- Seorang lelaki menemui maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Kampung Stass-Kibang pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mangsa yang dikenali sebagai Dratin Ak Kipa berusia 54 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan KKM yang menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa.
"Sepasukan anggota dari BBP Bau bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 8.15 pagi," jelasnya.
Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan kereta yang mana mangsa dan kereta terpelanting ke dalam parit tepi jalan.
Pemandu kereta Proton Wira yang mengalami kecederaan bagaimanapun sudah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital Bau sebelum ketibaan pasukan bomba.
Ketua operasi kemudiannya membuat "size up" dan mengarahkan anggotanya menggunakan strecher dan beg mayat bagi mengeluarkan dan mengangkat mangsa yang berada di dalam parit untuk dibawa naik ke atas.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjut," tambah beliau.
Gambar PGO Sarawak