Lelaki dikhuatiri terjatuh di Sungai Annau ditemui dalam keadaan tidak sempurna
TATAU -- Seorang lelaki yang keluar memasang pukat ikan di Sungai Annau pada petang Khamis lepas ditemui mati lemas petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Jankey Jikat berkata, mayat mangsa dijumpai sendiri oleh anak saudaranya yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak 8 kilometer dari PKB pada jam 1.41 petang.
"Pasukan bomba kemudiannya bergerak ke lokasi bersama pasukan SAR yang lain setelah menerima makluman berhubung penemuan mayat mangsa," ujarnya.
Sejurus berjaya dikeluarkan, mayat mangsa yang berada dalam keadaan tidak sempurna iaitu hanya kepala dan badan sahaja ditemui.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Dengan penemuan mayat mangsa ini sekaligus menamatkan usaha pencarian pada hari yang ke-2 ini tepat jam 2.30 petang.
Pada petang Khamis lalu, mangsa yang dikenali sebagai Nicholas Daniel berusia 38 Tahun dikatakan keluar rumah dengan menggunakan perahu bagi memasang pukat ikan di sungai.
Namun begitu, hanya perahu yang digunakan mangsa sahaja yang ditemui sebelum laporan polis dibuat bagi menjalankan usaha pencarian mangsa.