Juruteknik maut kemalangan, motosikal ditunggang rempuh 4WD buat pusingan "U" haram
BINTULU -- Seorang lelaki yang bekerja sebagai juruteknik menemui maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang melakukan pusingan "U" di Simpang Taman Permaisuri malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali dalam kenyataannya berkata, dalam insiden yang berlaku pada jam 8.16 malam itu, mangsa yang berusia 33 tahun itu dikatakan sedang bergerak lurus dari arah Pine Avenue menghala ke Ing Ling Residence.
"Motosikal yang sedang bergerak di laluan lurus itu hilang kawalan lalu melanggar 4WD yang sedang melakukan pusingan "U" dari arah Sibu berhampiran JPJ Bintulu," ujar Nixon.
Ekoran dari kejadian itu katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Bintulu yang turut berada di lokasi kejadian
Kes ini menurut beliau akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
PDRM Bintulu dalam masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemalangan yang berlaku supaya tidak menyebarkan berita yang tidak benar berkenaan kejadian.
Sekiranya ada sesiapa atau mana-mana pihak yang melihat kejadian boleh menghubungi Balai Trafik Bintulu atau IO Kes Inspektor Lydia Allan di talian 086-338575.