Gawai Dayak dirai bersama, tanda keharmonian Sarawak
KUCHING-- Tradisi sambutan Gawai Dayak di Sarawak diraikan oleh bukan sahaja kaum bangsa Dayak tetapi juga diraikan oleh seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama.
Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, di Malaysia, khususnya di Sarawak amat bertuah kerana terdiri daripada pelbagai kaum dan pelbagai anutan agama.
"Dalam situasi kepelbagaian tersebut, kita menghormati anutan agama, adat resam budaya di antara satu sama lain dengan penuh kesantunan.
"Ini terbukti apabila sudah menjadi tradisi sambutan Gawai Dayak di Sarawak diraikan oleh bukan sahaja kaum bangsa Dayak tetapi juga diraikan oleh seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama.
"Kunjung-mengunjung di antara satu dengan yang lain apabila tiba musim perayaan begini menjadi suatu suasana menarik dalam negara kita, khususnya di Sarawak.
"Ini mencerminkan eratnya hubungan kita sebagai rakyat yang pelbagai kaum dan pelbagai pula anutan agama atau kepercayaan," katanya dalam Perutusan Sempena Perayaan Gawai Dayak 2024 hari ini.
Sehubungan itu, beliau meletakkan keyakinan agar generasi baharu akan meneruskan tradisi begini demi memastikan ia kekal untuk diwarisi pula oleh generasi seterusnya.
"Saya percaya pada masa ini kebanyakan daripada rakan-rakan kita yang berketurunan Dayak sudah berada bersama-sama keluarga masing-masing untuk menyambut Hari Gawai.
"Inilah saat yang paling sesuai untuk kita mempereratkan hubungan kekeluargaan sesama keluarga, jiran tertangga, rakan dan seluruh anggota masyarakat.
"Bersempena dengan Perayaan Hari Gawai Dayak 2024, saya dan keluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Gawai 2024 kepada semua rakan kita yang berketurunan Dayak di mana sahaja mereka berada, khususnya di seluruh Sarawak dengan ucapan selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua," ujar Tun Wan Junaidi.
Mengenai pendidikan, beliau menyeru agar semua pihak terutamanya ibu bapa menjadi ejen pembangunan masyarakat dengan menyebarkan kepentingan pendidikan di dalam masyarakat dan kampung masing-masing.
Tegasnya, dengan adanya kesedaran mengenai pentingnya pendidikan maka masyarakat tidak ketinggalan daripada arus kemajuan.
"Kita sebarkan tentang semua dan pelbagai inisiatif pendidikan yang dirancang oleh pihak kerajaan Sarawak yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Premier kita untuk menjadikan Sarawak wilayah maju menjelang tahun 2030.
"Dengan tertubuhnya lima institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak iaitu iCats University College, Sarawak Skills, Centexs, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Kolej Laila Taib.
"Selain itu, lima buah sekolah antarabangsa (Yayasan Sarawak International School di Petra Jaya, Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri) yang juga milik Kerajaan Sarawak pastinya akan dapat membantu masyarakat kita mengorak langkah demi memastikan anak- anak kita di bangku sekolah menyediakan diri untuk merealisasikan pelbagai inisiatif tersebut menerusi pendidikan.
"Dengan menguasai ilmu kita akan menguasai pelbagai teknologi termasuk teknologi hijau, Al dan sebagainya yang tersenarai dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID- 19 2030 Sarawak," jelasnya.
Dengan sumber tenaga manusia dalam kalangan penduduk tempatan mahir yang cukup, katanya, Sarawak tidak akan bergantung dengan pakar asing dalam rangka Pembangunan negeri ini.
"Sebaliknya, kita akan memanfaatkan kepakaran tempatan untuk mengangkat. Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.
"Itulah impian kita bersama yang harus kita realisasikan dengan semangat kekitaan dalam kepelbagaian secara profesional dan berhemah.
"Seiring dengan itu juga, janganlah kita menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk menafikan pendidikan anak-anak kita. Anggaplah kemiskinan itu sebagai cabaran dan bukan halangan terus ketinggalan serta sentiasa menyalahkan keadaan," tegasnya.
Tambahnya, sekarang pelbagai bantuan dan kemudahan telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk memastikan setiap rakyat di negara ini tidak ketinggalan untuk mengejar ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat universiti.