Dua buruh warganegara Indonesia maut dihempap runtuhan dinding konkrit parit setinggi 1.5 meter yang di Lorong Samarindah Kota Samarahan
KUCHING -- Dua buruh warganegara Indonesia maut dihempap dinding konkrit parit setinggi 1.5 meter semasa sedang menjalankan kerja di Lorong Samarindah 14B Kota Samarahan di sini pagi tadi
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, dua mangsa yang maut ditimpa dinding konkrit parit terbabit dikenali sebagai Mustakim berusia 42 tahun dan seorang lagi rakannya berusia 29 tahun dan belum lagi diketahui identiti.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 11.25 pagi," jelasnya.
Sejurus sampai di lokasi katanya, pasukan bomba mendapati berlakunya runtuhan dinding parit yang sedang dalam pembinaan berketinggian 1.5 meter yang mana terdapat dua mangaa lelaki yang merupakan buruh binaan di tapak projek masih terperangkap dalam runtuhan konkrit tersebut.
Pihak bomba kemudiannya memulakan operasi menyelamat dan mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan bantuan pekerja binaan menggunakan sebuah jengkaut.
"Sejurus berjaya dikeluarkan, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian," ujarnya.
Dua mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Setelah kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dan keadaan didapati benar-benar selamat, maka operasi menyelamat ditamatkan pada jam 1 petang sebelum bertolak balik ke balai.