Cikgu Spiderman ubah bilik darjah SK Kanpung Kut, Daro ke "The Cafe Class"

MUKAH-- Cikgu Spiderman atau nama sebenar Muhamad Tarmizi Awang@Yaacob berjaya membawa keceriaan kepada murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kut, Daro selepas mentransformasikan bilik darjah dan landskap di sekolah tersebut.

Muhamad Tarmizi, 38, bersama-sama murid dan warga sekolah bergotong-royong menghiaskan bilik darjah dengan dekorasi ala-ala sebuah restoran.

Dekorasi bilik darjah kepada The Cafe Class berjaya menarik minat murid termasuk netizen di media sosial selepas gambar-gambar bilik darjah dan sekolah tersebut dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.

"Dari kelas biasa ke yang lebih selesa. Sempena Hari Guru yang bakal tiba, saya kongsikan sedikit deco guru pedalaman buat rakyat Malaysia semua.

"Ada orang tanya saya mana pergi gaji cikgu? Saya gunakan sedikit elaun pedalaman untuk cantikkan kelas, ada rezeki lebih kita buat lebih, Disember ini ada kenaikan gaji terima kasih PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) dapatlah saya berkongsi lagi.

"Walaupun di sekolah pedalaman, saya jadikan suasana yang kondusif agar murid-murid saya seronok belajar.

"Saya yakin dan percaya ramai rakan-rakan guru di luar sana buat sehabis baik untuk anak didik mereka, ramai di antara guru sanggup berhabis wang ringgit untuk kemenjadian anak didiknya," katanya dalam hantaran itu.

Beliau turut berkongsi suasana sekolah tersebut sebelum dan selepas didekorasi itu.

"Inilah sekolah saya mula-mula masuk sekolah dahulu (barulah merasa sekolah pedalaman). Tapi tu semua bukan penghalang untuk terus menjadi pendidik .

"Saya mengajar di sekolah pedalaman Sarawak, dan masih menikmati pengalaman hebat ini.

"Bagaimana timbul minat untuk menjadi guru? Ayah selalu berkongsi cerita, semasa kecil, beliau sangat berminat untuk menjadi guru, tapi apakan daya hanya mampu bersekolah sampai darjah 4 sahaja.

"Timbullah minat saya untuk menjadi guru bagi merialisasi impian ayah dulu.

"Saya mempunyai 11 orang adik beradik dan saya anak yang lapan, alhamdulillah lapan orang adik beradik saya menjadikan guru sebagai kerjaya, selebihnya kerjaya masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Tarmizi berkata, ketika mula melapor diri, dia dijemput menaiki bot oleh Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro untuk ke sekolah yang mengambil masa tiga jam dengan arus sungai deras.

Di sebalik cabaran itu, beliau mengakui menyimpan banyak kenangan manis termasuk di luar bilik darjah antaranya kerap menangkap udang galah di sungai bersama orang kampung.

Menurutnya, ketika di SK Kampung Bruit dia bersama beberapa guru lain sentiasa mencari idea untuk memberi pengalaman baru kepada murid pedalaman.

"Kami berusaha membawa murid keluar dari kampung untuk menyertai beberapa pertandingan di Semenanjung dengan harapan mereka dapat merasai suasana dalam kapal terbang dan melihat sendiri kemodenan Kuala Lumpur.

"Kami juga pernah memenangi pingat emas pertandingan inovasi peringkat kebangsaan di Institut Pendidikan Guru kampus Pendidikan Teknik.

"Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah kami disambut sebagai wira di lapangan terbang Sibu oleh masyarakat kampung dan wakil rakyat selain diraikan oleh persatuan Melanau Sibu dalam majlis hari raya," katanya.

Pada akhir tahun 2019, Muhamad Tarmizi dipindahkan ke SK Kampung Kut Daro yang masih lagi terletak dalam pulau Bruit dan juga sekolah pedalaman.

"Sebaik menjejakkan kaki ke sekolah itu, saya dan guru lain berusaha mengubah suasana sekolah menjadi lebih ceria supaya murid seronok untuk hadir ke sekolah.

"Atas kesungguhan itu, kisah sekolah kami tular di laman sosial yang mana suasana sebelum ini biasa menjadi luar biasa.

"Ia memberi inspirasi kepada guru dan masyarakat yang mana bahagia boleh dicipta walau di mana kita berada.

"Jika diimbas semula, memang banyak kenangan manis di sekolah ini, salah satunya apabila kisah saya sebagai Cikgu Spiderman kerana menyambut murid dengan berpakaian kostum adiwira itu ketika awal pembukaan sekolah tular.

"Saya sangat bersyukur kerana kisah itu beri peluang wajah murid terpapar di muka depan dada akhbar dan televisyen," katanya.
Next Post Previous Post