28 penduduk dari 6 keluarga rumah panjang Laweng di Padeh dipindahkan ekoran kediaman dinaiki air
BETONG -- 28 penduduk dari 6 keluarga Rumah panjang Laweng di Padeh dipindahkan pasukan bomba selepas rumah panjang didiami mereka dinaiki air sedalam 2 kaki sejak petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong Vincent Baling Yabi berkata, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.41 petang bagi menjalankan khidmat khas memindahkan penduduk rumah panjang ke lokasi selamat.
"Sampai di lokasi rumah panjang, pasukan bomba mendapati enam sekeluarga terbabit terperangkap dalam rumah panjang akibat kawasan sekitarnya ditenggelami air banjir yang mana sudah mulai masuk ke dalam rumah berkedalaman 2 kaki," ujarnya.
Pemantauan yang dijalankan pasukan bomba jelasnya mendapati penghuni rumah panjang perlu dipindahkan berikutan air berada paras bahaya.
Pasukan bomba kemudiannya melakukan proses pemindahan mangsa dengan menggunakan aset bot ke lokasi selamat dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Layar.