2,157,720 batang rokok, 2,185.92 liter minuman keras dirampas di Saratok
KUCHING-- Sebanyak 2,157,720 batang rokok dan 2,185.92 liter minuman keras jenis bir dipercayai seludup dianggarkan bernilai RM2,310,450 termasuk duti dan cukai dirampas di Saratok, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak Norizan Yahya berkata, rampasan itu dibuat oleh sepasukan anggota JKDM daripada Cawangan Penguatkuasaan Sarikei, JKDM Stesen Sarikei pada 24 April lalu sekitar jam 12.30 tengah hari dalam satu serbuan dan pemeriksaan di sebuah permis rumah kediaman tanpa nama di Saratok.
"Hasil pemeriksaan di lokasi, pasukan telah menemui sejumlah rokok putih pelbagai jenama dan minuman keras jenis bir pelbagai jenama disembunyikan di dalam kawasan permis tersebut.
"Pemeriksaan rapi mendapati rokok dan minuman keras tersebut dijumpai tanpa setem cukai dan disyaki tidak berkastam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norizan, semasa serbuan dan pemeriksaan dilakukan tiada wakil atau pemilik barang berada di tempat kejadian.
"Pasukan telah menunggu hampir satu jam namun tiada wakil atau pemilik yang tampil mengaku pemilik barang-barang tersebut.
"Kuantiti barang rampasan adalah sebanyak 2,157,720 batang rokok dan 2,185.92 liter minuman keras jenis bir yang keseluruhannya dianggarkan bernilai sebanyak RM775,790.00 dan anggaran jumlah duti dan cukai yang terlibat adalah sebanyak RM 1,534,656.49," jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi sindiket adalah menyimpan rokok dan minuman keras yang tidak berkastam tersebut di dalam kawasan perumahan terpencil sebelum diedar ke pasaran tempatan.
Bagi mengaburi pihak berkuasa, katanya, sindiket ini menjadikan sebuah rumah tanpa penghuni sebagai tempat simpanan transit sebelum diedar ke pasaran sekitar.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 di mana jika sabit
kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.
" Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan dadah dan barangan yang lain serta dinasihatkan tidak
membabitkan diri dengan aktiviti tersebut," ujarnya.
Tegasnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Mohon kerjasama dari seluruh ahli masyarakat untuk bersama-sama berganding bahu untuk membanteras aktiviti pengedaran dadah untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
"JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan
menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan
menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam
yang terdekat di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa
identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," tambahnya.