11 atlet Sarawak capai kejayaan peringkat antarabangsa
KUCHING-- Pencapaian sebelas atlet anak Sarawak yang berjaya melakarkan kejayaan di peringkat antarabangsa amat membanggakan, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau memberitahu, pencapaian kesemua sebelas atlet itu berjaya mengharumkan nama Sarawak di mata dunia.
"Saya dengan ini mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada para atlet Sarawak yang berjaya merekodkan pencapaian yang terbaik di peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Jelas Abdul Karim, 11 atlet itu, Ashley Lau, Pemain Golf Wanita Nombor 1 Malaysia dengan Kedudukan Golf Dunia Wanita Rolex ke-237; Mirabel Ting, Amatur Wanita Kebangsaan Augusta (kedudukan ke-11 dunia) yang mana dia akan mewakili Sarawak dalam SUKMA akan datang.
Selain itu, Gillian Lim Siew Giok, baru-baru ini telah memenangi Johan dalam Final Masters Terbuka Wanita dalam Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-42 2024; Nur Hazirah Ramli, menduduki tempat ke-16 terbaik Piala Dunia Remaja yang diadakan pada 19 hingga 26 Januari 2024 di Peru dan telah memenangi Johan dalam Kategori Terbuka Perempuan dalam Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-42 2024.
"Muhammad Johan Ghazali Zulfikar [Jojo], pejuang Muaythai profesional yang akan bertanding di One Championship Friday Night akan datang di Bangkok, Thailand pada 7 Jun 2024; Cordelia Wee Li Xin Persekutuan Sukan Tarian Dunia Ke-6 (WDSF) Terbuka Kategori Latin Solo Dewasa Antarabangsa dan memenangi Tempat Ke-3 dalam Persekutuan Sukan Tarian Malaysia (MYDF), Dult Sololatin Tertutup Kebangsaan; Bertrand Rhodict Lises, atlet Malaysia pertama yang layak ke Sukan Olimpik Musim Panas Paris 2024 dalam acara terjun dan Bonnie Bunyau Anak Gustin telah layak ke Paris 2024 Summer Paralimpik dalam Powerlifting.
"Selain itu, Jong Yee Khie telah layak ke Paralimpik Musim Panas Paris 2024 dalam Powerlifting; Muhammad Nur Syaiful Bin Zulkafli telah layak ke Paralimpik Musim Panas Paris 2024 dalam acara renang; dan Abdul Razzaq Bin Abdul Rahman telah layak ke Paralimpik Musim Panas Paris 2024 di Boccia," ujarnya.