Warga emas maut motosikal langgar lori rosak
SRI AMAN-- Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori rosak yang diparkir di tepi jalan di Kilometer 23 Jalan Sri Aman/Kuching pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata, dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa seorang petani dikenali sebagai Angki Aleng, 66, beralamat di Skim Skrang, Sri Aman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa datang dari arah Sri Aman menuju ke Pekan Lachau, Sri Aman sedang bergerak lurus telah melanggar tayar bahagian belakang sebelah kanan sebuah yang rosak dan parkir di tepi jalan lorong kiri.
"Akibat pelanggaran tersebut motosikal mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ditempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mathew berkata, terdapat tiga saksi bebas yang menyaksikan kemalangan itu dan memaklumkan mereka adalah rakan sekerja mangsa yang juga masing-masing menaiki motorsikal sendiri secara beriringan dengan mangsa dalam perjalanan dari Sri Aman menuju ke tempat kerja mereka di pekan Lachau.
Jelasnya, saksi mengatakan ketika melalui lokasi kejadian mereka ada melihat dahan pokok dan kon segi tiga di atas jalan laluan lori tersebut dan mereka telah mengelak dari jalan tersebut dan menggunakan laluan sebelah kanan.
"Tetapi mangsa yang berada di hadapan mereka terus bergerak dengan laju dan telah terlanggar bahagian tayar belakang sebelah kanan lori terbabit," katanya.
Menurutnya lagi, hasil siasatan tempat kejadian mendapati lori tersebut telah mengalami kerosakan pada jam 6 pagi tadi dan telah parkir di tepi laluan sebelah kiri dan telah memasang dua unit kon segi tiga serta beberapa dahan pokok dalam jarak lebih kurang 60 meter di atas jalan laluan lori sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya.
"Pemandu lori dan kalendan telah keluar dari lori dan berdiri di tepi lori sambil menunggu mekanik datang dari Sri Aman untuk membaiki lori tersebut," katanya.
Tegasnya, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.