Seorang maut, seorang parah kemalangan dua kenderaan di Kampung Tanaki, Papar
PAPAR-- Seorang wanita maut manakala seorang lelaki parah dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di jalan Kampung Tanaki, Lebuhraya Pan Borneo di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 2.50 petang dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar ke lokasi.
"Setiba dilokasi Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Vigo dan sebuah kenderaan jenis Hyundai.
"Terdapat dua mangsa tersepit dalam kereta Hyundai dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba.
"Seorang mangsa cedera parah dihantar ke Hospital Papar menaiki Ambulan untuk mendapatkan rawatan lanjut dan seorang mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Manakala pemandu Toyota Vigo katanya, telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan Bomba.
Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tidak ada bahaya lain.
Operasi ditamatkan pada jam 3.28 petang.
Punca kemalangan masih dalam siasatan polis.