Seorang maut, lima termasuk tiga kanak-kanak cedera kemalangan di Jalan Menggaris Kota Marudu
KOTA MARUDU-- Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Manggaris di sini, pagi tadi.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 8.54 pagi dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu ke lokasi.
"Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan Mitsubshi Triton dan Proton Saga.
"Terdapat seorang mangsa tersepit dalam kenderaan Proton dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, mangsa yang berjaya dikeluarkan itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.
Berikutan itu, katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Manakala seorang pemandu dan empat penumpang yang terdiri daripada seorang wanita dan tiga kanak-kanak dari kenderaan Mitsubshi mengalami cedera ringan dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut," ujarnya.
Tambahnya, pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tidak ada bahaya lain di lokasi sebelum menamatkan operasi keseluruhan jam 9.40 pagi.