Sarawak jalankan eksperimen dua prototiap hasilkan tenaga hijau
KUCHING -- Kerajaan Sarawak sedang menjalankan eksperimen dua kaedah baharu bagi menghasilkan tenaga hijau sekali gus menjadi bakal menjadi sumber tenaga diperbaharui di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, eksperimen itu melibatkan pengujian dua prototaip kaedah tersebut.
Jelasnya, prototaip pertama yang diuji melibatkan kaedah graviti di mana air sungai akan dipam dan disimpankan di dalam tangki besar.
"Selepas itu, air di dalam tangki ini dilepaskan menggunakan saluran paip bagi menggerakkan turbin yang akan menghasilkan tenaga hijau.
“Prototaip ini kita uji di Stumbin, Sri Aman yang mana kaedah ini adalah baru dan belum lagi digunakan di tempat lain dan jika ini berlaku, kita boleh mengeluarkan tenaga hijau untuk kegunaan orang Sarawak selain empangan hidro,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman Penasihat di Pejabat Premier Sarawak Datuk Seri Rohani Abdul Karim di sini hari ini.
Kaedah kedua pula, Abang Johari berkata ia menggunakan kaedah gelombang atau ombak, yang merupkan teknologi baharu dan hanya ada di Shanghai, China.
Menurutnya, prototaip ini diuji di laut iaitu empat kilometer dari pantai Samalaju.
"Tenaga elektrik dihasilkan melalui gelombang atau ombak dan apabila eksperimen ini berjaya kelak, kita akan mempunyai sumber tenaga hijau baharu selain yang ada sekarang ini," katanya.
Tambahnya, ketika ini Sarawak mempunyai sumber tenaga diperbaharui hidro dan biomas selain solar.
"Sekiranya kaedah ini berjaya seperti hidrogen, ia akan mengubah pengeluaran tenaga Sarawak.
"Sarawak mempunyai banyak sumber air, namun tiada analisis dilakukan tentang kebolehannya untuk mengeluarkan perkhidmatan dan tenaga," ujarnya lagi.