Rumah Kelimbang di Betong guna tenaga solar keringkan lada

Dr Richard Rapu meninjau Rumah Pengeringan Lada Putih dilengkapi solar di RH Kelimbang di Penyulok, Ulu Layar

BETONG— Penggunaan rumah pengeringan lada putih dilengkapi tenaga solar bakal membawa perubahan besar kepada pekebun di Rumah Panjang Kelimbang Jaman di Penyulok, Ulu Layar di sini.

Langkah ini akan memudahkan pekebun melakukan proses menjemur lada sepanjang masa tanpa bimbang dengan keadaan cuaca yang tidak menentu berbanding kaedah tradisional sebelum ini.

Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu berkata, pembinaan rumah pengeringan solar ini merupakan sebahagian daripada projek memacu industri lada atau ‘Pepper Scale Up Project’ yang dibangunkan Universiti Sains Malaysia (USM) selaku rakan strategik dan turut dibantu TERAJU Wilayah Sarawak.

“Projek pembinaan Rumah Pengeringan Solar Lada Putih telah siap dibangunkan dan akan menjadi lokasi pengeringan dan pemprosesan lada putih dengan teknologi moden.

“Kerja seterusnya adalah memasang peralatan yang diperlukan dan mengatasi beberapa perkara berbangkit agar dapat memulakan operasi dalam masa terdekat,” katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke atas bangunan berkenaan di Rumah Panjang Penyulok di sini baru-baru ini.

Dr Richard menambah, para pekebun turut diberi latihan oleh USM untuk menggunakan teknologi moden dalam pengeringan dan pemprosesan lada putih yang selama ini menggunakan kaedah tradisonal.
 
“Ini agar penghasilan produk lada putih di sini meningkat dari segi produktiviti, mematuhi Good Manufacturing Practise (GMP), Good Agriculture Practice (GAP) dan seterusnya menepati piawaian yang ditetapkan agar memudahkan untuk dipasarkan,.

“Selain meningkatan pengeluaran dan kualiti, ia diharap dapat memperkasa ekonomi golongan pekebun kecil lada,” katanya.

 Sementara itu, Tuai Rumah Kelimbang Jaman mewakili para penduduk merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan yang membawa program ini ke rumah panjang mereka.
 
Beliau berharap Rumah Pengeringan Solar Lada Putih dapat memulakan operasi menjelang musim menuai lada sekitar bulan Jun nanti. 
Next Post Previous Post