Rumah Datuk Gerawat Tinggal Rangka, 6 Penghuni Selamat
MIRI--Kediaman Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Gerawat Gala di Kampung Pa' Umor Bario tinggal rangka dalam kebakaran awal pagi tadi.
Bagaimanapun, enam penghuni tidak mengalami sebarang kecederaan Dan berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu.
Komander Operasi, PPgB Maureen Sim Ah Lian berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi menerima laporan berhubung kes itu jam 1.40 pagi dan pergerakan menggunakan pesawat pada jam 12.35 tengah hari tadi.
"Tindakan awal oleh penduduk kampung, pihak PDRM dan Pasukan Bomba Sukarela telah berusaha untuk mengawal dan memadam kebakaran.
"Namun rumah kediaman tersebut terbakar sepenuhnya dan tiada yang dapat diselamatkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, jarak BBP Marudi ke lokasi mengambil masa 20 jam laluan darat dan menggunakan jalan balak untuk sampai ke lokasi kejadian bergantung dengan keadaan cuaca.
"Pergerakan pengesahan dan siasatan kebakaran menggunakan heli bomba ke lokasi.
"Sampai di lokasi kejadian kira-kira 10 kilometer dari Airport Bario,pegawai penyiasat terus menjalankan siasatan kebakaran di lokasi kejadian serta mengambil maklumat penuh dari mangsa yang mendiami rumah yang telah musnah terbakar sepenuhnya," ujarnya.
Katanya, enam orang anggota dari Persatuan Bomba Sukarela Bario memadam sisa-sisa api yang masih terbakar sehingga padam sepenuhnya dibantu 20 orang pegawai lain-lain pangkat dari Tentera Darat Diraja Malaysia menggunakan dua aliran 700 kaki, air daripada pili bomba terdekat.