Projek jalan alternatif Kota Samarahan - Kuching ditender semula
KOTA SAMARAHAN— Projek pembinaan dua jalan alternatif dari Kota Samarahan ke Kuching yang terbengkalai sebelum ini ditender semula selepas pihak kontraktor gagal melaksanakannya.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, dua projek tersebut ialah Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan ke Kota Sentosa dan jalan pesisir dari bulatan Kampung Baru ke Sejingkat.
“Kedua-dua jalan ini sepatutnya siap pada tahun ini. Namun kontraktor menghadapi isu dan masalah teknikal menyebabkan mereka tidak dapat menyiapkan projek ini mengikut jadual yang ditetapkan.
“Justeru projek ini ditender semula bagi membolehkan kontraktor baharu meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan kontraktor lama.
“Pembinaan sudahpun bermula, Insya-Allah, projek ini akan siap sepenuhnya pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim pada Ahad.
Rubiah yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam pada itu menafikan kelewatan projek tersebut disebabkan masalah kewangan.
Untuk rekod, Jalan Datuk Mohd Musa yang merupakan arteri penghubung terpenting di antara Kota Samarahan dengan Kota Sentosa dan Padawan telah dinaiktaraf dari dua lorong ke empat lorong dan kini enam lorong.
“Kita sedar masalah kesesakan antara Kota Samarahan ke Kuching masih berlaku. Sehubungan itu kerajaan telah membina laluan alternatif.
“Kita berharap kedua-dua jalan alternatif ini dapat mengurangkan masalah ini dengan baik dan berkesan,”tegas Rubiah.