Permohonan Rumah Mesra Rakyat 2.0 kini lebih cepat

KUCHING-- Rakyat kini lebih mudah dan cepat untuk memiliki rumah sendiri menerusi program Rumah Mesra Rakyat 2.0 yang baharu diperkenalkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Pelaksanaan program RMR 2.0 jauh lebih cepat, jika dibandingkan dengan RMR 1.0 yang memerlukan pemohon menunggu giliran masing-masing yang mengambil masa bertahun-tahun.

Justeru, di bawah RMR 2.0, ia mampu mempercepatkan peluang rakyat yang layak memiliki kediaman sendiri dalam tempoh maksimum tiga bulan sahaja.

Tujuan program ini diwujudkan daripada kesinambungan Program Rumah Mesra Rakyat sedia ada bagi mempertingkatkan lagi pemilikan rumah kepada golongan B40 melalui bayaran secara tunai atau pinjaman dari institusi kewangan.

Mengenai konsep dan ciri-ciri RMR 2.0 ini, rumah sesebuah satu tingkat itu mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan rumah 750 kaki persegi dan keluasan tanah 3,000 kaki persegi.

Bagi harga RMR pula, ia dijual pada RM75,000 (Semenanjung) dengan subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 manakala selebihnya RM55,000 dibayar tunai atau institusi kewangan.

Bagi harga di Sarawak pula, rumah itu dijual pada harga dari RM85,000, juga subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 manakala selebihnya dibayar tunai atau institusi kewangan.

Perjanjian pula disediakan oleh SPNB dan pelaksanaan pembinaan adalah lantikan oleh SPNB.


Kaedah permohonan adalah secara dalam talian di laman sesawang www.spnb.com.my.

Untuk kelayakan pemohon pula adalah warganegara Malaysia berumur 18 sehingga 65 tahun dan pendapatan bulanan seisi rumah tidak melebihi RM 5,000.

Selain itu, pemohon dan pasangan tidak memiliki rumah sendiri atau memiliki rumah usang atau tidak sempurna.

Tanah atau tapak cadangan mestilah bersesuaian untuk pembinaan danj ika pemohon bukan tuan punya tanah, pemohon mestilah mendapat kebenaran dari pada tuan punya tanah yang dicadangkan.

Untuk maklumat lanjut berkaitan projek RMR 2.0 ini, orang ramai boleh menghubungi SPNB Sarawak di Kuching di talian 082-230 032 / 082-240 032.
Next Post Previous Post