Pelabuhan Bintulu Strategi Baharu Transformasikan Ekonomi Sarawak
KUCHING--Penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak merupakan strategi baharu mentransformasi ekonomi Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pada 22 Mac yang lepas Sarawak telah menandatangani
Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan Kerajaan Persekutuan
untuk mengoperasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada
Sarawak setelah 43 tahun di bawah pengurusan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, ini adalah satu lagi kejayaan untuk mengembalikan hak Sarawak yang terhakis kerana pelabuhan adalah hak Sarawak
di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Ia juga harus dilihat dari segi mengintegrasikan
pembangunan pelabuhan di Sarawak sebagai strategi baharu mentransformasikan ekonomi Sarawak.
"Keberadaan sumber tenaga yang banyak tidak mencukupi sebagai faktor untuk menarik minat para pelabur tanpa adanya kemudahan infrastruktur khususnya pelabuhan," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2024.
Beliau berkata, selama ini pembangunan pelabuhan secara menyeluruh tidak pernah dilihat sebagai inisiatif penting untuk memacu ekonomi Sarawak.
"Potensi ini tidak harus dilepaskan kerana Sarawak sebagai ekonomi perdagangan dengan lokasi yang strategik di rantau Asia Sarawak mempunyai masa hadapan yang cerah untuk membina ekonomi berasaskan pembangunan pelabuhan yang bertaraf dunia.
"Pelabuhan-pelabuhan di Sarawak akan diuruskan oleh sebuah lembaga pelabuhan pusat yang bakal dibentuk oleh Kerajaan Sarawak," ujarnya.
Beliau yakin pembangunan pelabuhan berdasarkan suatu pelan induk yang komprehensif melibatkan seluruh Sarawak, malah boleh menjangkau keseluruhan pulau Borneo, akan memantapkan ekonomi Sarawak untuk menjadi sebuah ekonomi yang terunggul di rantau ini.
"Saya menyeru semua masyarakat
untuk terus berusaha ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan kita yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan
budaya di Bumi Kenyalang yang tercinta ini.
"Marilah kita sama-sama terus berusaha ke arah penyatuan masyarakat majmuk kita dan elakkanlah perkara-perkara yang akan mendatangkan perpecahan," katanya.
Abang Johari turut menasihatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan tindak-tanduk masyarakat di tempat-tempat lain yang begitu cenderung melihat perbezaan daripada unsur-unsur penyatuan berkaitan isu-isu yang berkisar tentang agama dan keturunan hampir setiap hari.