Model, nama syarikat penerbangan Sarawak sudah ada, akan diumumkan kelak-Abang Johari
KUCHING-- Model dan nama syarikat penerbangan milik Sarawak yang dijangka beroperasi pada 2025 akan diumumkan sebaik sahaja MASwings diambil alih sepenuhnya, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, proses pengambilalihan MASwings kini tinggal berkaitan teknikal dan dijangka selesai sepenuhnya selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Katanya, Kementerian Pengangkutan dengan Malaysia Aviation Group (MAG) juga sudah mencapai persetujuan secara prinsip berkaitan perkara ini.
"Secara prinsipnya sudah selesai apa perlu sekarang hanya berkaitan teknikal.
"Sarawak akan mengambil alih MASwings sepenuhnya pada Ogos atau selewatnya hujung tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
"Model saya tidak umumkan sekarang, namanya sudah ada nanti saya umumkan, kita harap tahun depan ia beroperasi," tambah Abang Johari.
Pada 27 Oktober tahun lalu, syarikat milik Sarawak, Hornbill Skyways Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group (MAG) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mempercepatkan pemerolehan saham dalam MASwings Sdn Bhd bagi pengurusan perkhidmatan udara luar bandar.
Abang Johari sebelum ini dipetik berkata, MoU itu akan membuka jalan ke arah perbincangan lebih terperinci antara kedua-dua pihak untuk memastikan negeri itu mendapat pegangan majoriti dalam MASwings.
Beliau meletakkan sasaran pengoperasian penerbangan bermula 2024.
Katanya, kerajaan negeri mahu menjadikan Kuching sebagai hab utama syarikat penerbangan, selain mengembangkan laluan syarikat penerbangan itu ke destinasi serantau melibatkan kira-kira enam hingga tujuh jam perjalanan seperti Australia, Hong Kong, Singapura, Jepun, Korea Selatan, dan India.