Lori batu punca Jalan Long Lama sentiasa rosak, susahkan rakyat

LONG LAMA — Lori yang keluar masuk membawa batu ke tapak projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak adalah penyebab utama jalan Long Lama sentiasa rosak dan sukar diperbaiki. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, beliau sendiri yang menyaksikan beratus-ratus lori menggunakan jalan tersebut setiap hari untuk mengangkut batu dari kuari di Long Lama. 

“Beberapa tahun lalu, keadaan jalan tidaklah seteruk sekarang kerana hanya kenderaan dan lori kecil menggunakan jalan ini. 

“Namun sejak penutupan kuari di Niah, kontraktor Lebuhraya Pan Borneo beralih ke kuari di Long Lama. Saya sendiri melihat lori 40 tan danlebih muatan keluar masuk menyebabkan jalan Long Lama rosak teruk,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini. 

Keadaan jalan yang rosak dan menjejaskan penduduk setempat antara Bukit Sabun dan masjid Long Lama. Gambar netizen

Dennis berkata demikian mengulas keluhan pengguna jalan raya di media sosial yang mengadu kerosakan teruk laluan sepanjang 200 kilometer (km) antara Bukit Sabun dan masjid Long Lama. 

Beliau berkata, usaha membaiki laluan tersebut sudah dilakukan beberapa kali namun ia hanya bertahan untuk beberapa minggu sahaja.

Selain laluan tersebut, jalan Long Lama ke Lapok turut mengalami kerosakan teruk kerana lori batu tersebut.

“Saya faham perasaan rakyat yang saban hari melalui jalan rosak tersebut, kerana saya sendiri pun melalui kawasan itu. 

“Namun kita faham kontraktor bertungkus-lumus menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo dan sekarang lebuh raya tesebut banyak yang sudah siap dan lori batu yang keluar masuk turut berkurangan,” katanya. 

Beratus-ratus lori menggunakan laluan ini setiap hari untuk mengangkut batu dari kuari di Long Lama ke projek Lebuhraya Pan Borneo. Gambar ihsan Dennis Ngau


Beliau turut menafikan kerajaan ’tidur’ tidak mengambil tindakan untuk membaiki jalan yang rosak tersebut. 

“Saya sudah mengemukakan isu ini kepada Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan masih menunggu kelulusan peruntukan untuk fasa dua bagi pembangunan Telang Usan,” katanya. 

Sementara itu di media sosial Facebook, penduduk setempat merayu kerajaan dan agensi berkaitan untuk membaiki kerosakan jalan yang membahayakan kenderaan kecil.

“Boleh beritahu kepada yang bertanggungjawab atas jalan ini..batu-batu dijalan ini sudah keluar yang batu besar-besar. 

“Tambah lagi jalan ini dah dalam sudah,..susah untuk kereta kecil seperti saya B40 lalu jalan ini. Mahu beli Hilux macam yang lain belum mampu lagi,” kata individu dikenali sebagai Jilan Jay dalam hantaran.

Individu itu mempersoal Long Lama mempunyai kuari batu sedangkan jalan sendiri rosak teruk.

Adakah ini yang dikatakan, hasil dari tempat sendiri dijual ke tempat lain sahaja, tapi kawasan kita sini rosak teruk jalan, katanya.
Next Post Previous Post