Lagi 8 PATI Ditahan Mahu Loloskan Diri Ke Sarawak
LUNDU -- Selepas kejayaan mematahkan cubaan lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) wargenagara Indonesia meloloskan diri ke Sarawak secara haram semalam, lapan lagi PATI ditahan dalam rondaan bersama Tentera Malaysia- Indonesia hari ini.
Sel Operasi Media Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) berkata, Sub Unit Formasi Divisyen Pertama Infantri telah melaksanakan rondaan
bersama di kawasan keselamatan Biawak dalam Op Keris/ Parang pada jam 10. 45 pagi.
"Semasa sedang melaksanakan
rondaan, anggota ronda tentera mendapati lima orang lelaki dewasa dan tiga wanita dewasa sedang
berjalan daripada arah sempadan Indonesia dan cuba untuk merentas ke Malaysia.
"Pasukan ronda tersebut telah menahan dan membuat pemeriksaan terhadap lapan orang
tersebut dan mendapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun begitu, katanya, terdapat
beberapa barang bukti lain yang ditemui seperti wang tunai, telefon bimbit, beg dompet dan beg pakaian dengan nilai berjumlah RM 5,820.
"Kesemua lapan orang PTI telah dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran.
"Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa," ujarnya.