Krisis air di Kampung Badong kian runsing, penduduk terpaksa masak, minum guna air hujan

DARO-- Penduduk Kampung Badong di sini terjejas akibat masalah bekalan air yang tiada penghujung meskipun telah mempunyai sistem paip air ke rumah.

Berkongsi kisah sukar yang dialami penduduk Kampung Badong itu, seorang pengguna Facebook yang dikenali Fizah Amir Mrsmamaqayra membuat hantara berkaitan isu tersebut.

"Kampung Badong, Daro tiada air! Itulah luahan perasaan separuh dari penduduk Kampung Badong yang terjejas kerana masaalah air yang tidak pernah selesai.

"Seluruh Penduduk Kampung Badong terjejas teruk kerana air bersih tidak keluar dari paip air di rumah mengakibatkan rutin harian mereka terjejas teruk," katanya.

Lebih menghairankan penduduk, ke mana perginya air paip itu yang dikatakan telah 'hilang' sejak Ramadan lalu.

Katanya lagi, kesulitan penduduk bertambah apabila masalah yang diajukan kepada pihak berkaitan tidak diambil tindakan dan diselesaikan.

"Pelbagai aduan telah dibuat secara dalam talian, aduan ke kaunter Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Daerah Daro yang dibuat oleh penduduk kampung. 

"Namun hampa masalah tidak juga selesai. Untuk pengetahuan masalah air ini bukan hanya terjadi pada hari ini, sebelum ini juga masalah air ini telah berlarutan bertahun-tahun," tegasnya.

Malah, Fizah memberitahu notis juga tidak dinyatakan dan tiada pemberitahuan bila akan kembali ada air.

"Keadaan ini amat menjejaskan penduduk kampung," katanya sambil menambah penduduk kampung kini terpaksa bergantung kepada air hujan.

"Untuk pengetahuan juga penduduk kampung menggunakan air hujan yang ditadah untuk diguna sebagai air untuk memasak dan minum. 

"Oleh kerana sekarang boleh dikatakan musim kemarau, hujan tidak turun dalam tempoh lama dan tiada air yang dapat disimpan.

"Penghantaran air bersih juga kurang dan tidak mencukupi, ada juga penduduk yang tdak mendapat langsung air yang dihantar kerana rumah mereka berada di bahagian tengah dan hujung kampung," dedahnya.


Jelasnya lagi, kadang-kala air hanya dihantar dua-tiga hari dan satu rumah hanya mendapat satu tong kecil sahaja untuk keperluan seharian,.

Tambahnya, ada penduduk terpaksa menunggu ditepi jalan untuk menahan air namun jawapan yang diberikan hanya mengecewakan penduduk kampung iaitu air tidak cukup.

"Itulah jawapan yang dberikan. Puas sudah penduduk kampung bersabar menahan perasaan. Bukanlah niat penduduk Kampung Badong untuk membuat tindakkan sebegini dengan sengaja dan tidak faham dengan masalah tersebut tetapi mereka meminta agar air disalurkan dengan secepat mungkin dan setiap hari.

"Kembalikan air bersih kepada penduduk Kampung Badong, Daro," ujarnya.
Next Post Previous Post