Kesesakan Hospital Miri selesai, bangunan baharu 7 tingkat dibuka Jun ini
MIRI— Masalah kesesakan yang berlaku sekian lama di Hospital Miri dijangka akan berkurangan dengan pembukaan bangunan tambahan hospital itu pada Jun ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, bangunan tambahan itu siap dibina pada Isnin depan (29 April) dan akan diserahkan oleh pihak Jabakatan Kerja Raya (JKR) kepada kementerian pada Mei ini.
“Bangunan tambahan itu mampu menempatkan sebanyak 328 katil selain dilengkapi lima klinik pakar dan 900 lot parkir.
“Penyediaan bangunan tambahan serta siap dalam tempoh masa yang ditetapkan sangat penting bagi memberikan perkhidmatan perawatan yang terbaik kepada masyarakat setempat selain dapat membantu kesesakan di Hospital Miri yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan.
Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke bangunan tambahan Hospital Miri pada Khamis.
Beliau turut melawat dan meninjau keadaan bangunan tambahan Hospital Miri setinggi tujuh tingkat yang menempatkan Pusat Pemantauan (Central Monitoring System), Jabatan Kecemasan dan Trauma, Klinik Pakar Pediatrik, Klinik Pakar Obstetrik dan Gonekologi, Unit Pendidikan dan Latihan, Jabatan Patologi, Unit Rawatan Harian, Dewan Bedah Materniti, Wad Pediatrik, sekolah dalam hospital, wad kelas pertama dan Farmasi Pesakit Luar.
Terdahulu Lukanisman ketika ditemui wartawan berkata, selain Hospital Miri kementerian turut memberi keutamaan kepada perkhidmatan kesihatan di Long Lama yang ketika ini beroperasi di dewan masyarakat.
“Klinik Interim Long Lama yang dipersetujui sebelum ini akan dilaksanakan tahun ini.
“Memandangkan klinik sekarang ditempatkan di dewan masyarakat, kami telah mengambil keputusan untuk meletakkan klinik interim di sekitar dewan.
“Dewan tersebut turut dinaiktaraf untuk memberikan ruang yang lebih selesa kepada pesakit selain dilengkapi kemudahan kesihatan asas seperti makmal, klinik pesakit luar dan klinik ibu dan anak serta farmasi,” kata Lukanisman.
Beliau memberitahu, kaedah untuk menyelamatkan Klinik Kesihatan Long Lama yang asal telah diluluskan dan sedang dilaksanakan oleh JKR Malaysia.
“Untuk langkah jangka panjang, Kementerian mempunyai beberapa cadangan termasuk menyelamatkan tapak asal klinik atau pindah ke tapak baharu. Namun kita perlu berbincang dengan wakil rakyat setempat terlebih dahulu,” katannya.