Kebakaran Rumah Pusaka Beri Kesan Mendalam, Lenyapnya Legasi Keluarga - Gerawat


MIRI-- Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala menyifatkan kebakaran kediamannya yang berusia lebih 30 tahun di Kampung Pa’ Umor, Bario, Ahad lalu sebagai kehilangan besar kepada legasi keluarganya.

Menurutnya, kebakaran rumah pusaka itu memberi kesan yang cukup mendalam kepada beliau dan keluarganya.

“Rumah ini memghimpunkan legasi keluarga kami, kehilangan terbesar ialah ingatan ibu bapa saya dan generasi dahulu yang tidak ada lagi yang membantu saya membina rumah. 

“Itulah kehilangan terbesar yang saya rasa. Tiada lagi kenangan kami di sini,” katanya ketika ditemui di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu berkata, jumlah kerugian akibat kebakaran dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit termasuk barangan warisan dan antik yang disimpan di rumah berkenaan.

“Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mendapati kebakaran tersebut berkemungkinan berpunca daripada masalah litar pintas,” ujarnya.

Gerawat turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran itu dan memberi sokongan moral kepadanya dan keluarganya.
Next Post Previous Post