Indikator khusus ukur tahap keterjaminan makanan dibangunkan, Fadillah
Fadillah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2024 pada Isnin. |
PUTRAJAYA-- Kerajaan akan membangunkan
indikator khusus yang berdaya saing bagi mengukur tahap keterjaminan makanan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, perkara itu antara inisiatif yang diperhalusi bagi keterjaminan makanan pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2024 pada Isnin.
Fadillah berkata, inisiatif lain ialah menawarkan tanah yang belum dibangunkan untuk dimanfaatkan bagi program penanaman bawang.
"Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan
kadar kebergantungan terhadap import bawang sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, turut ditetapkan polisi penghasilan dan penjualan daging kultur dan hasil daging kultur serta cell-based food di Malaysia tidak dibenarkan sehingga penetapan standard peringkat antarabangsa dimuktamadkan.
" Selain itu cadangan transformasi perubahan struktur ke atas sektor padi dan beras antaranya caangan pembukaan agihan baja berpusat, penggantian subsidi input kepada subsidi output, penggemblengan big data serta penggunaan teknologi digital," katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, cadangan berkenaan akan diteliti mengambil kira input semua pemegang taruh sebelum perlaksanaan.
Di samping itu, membangunkan Garis Panduan Perancangan Kilang Tanaman (Plant Factory) (GPP KiTa) sebagai instrumen yang memudah cara dan menyokong ekosistem industri tanaman makanan.
"Teknologi nuklear di bawah Agensi Nuklear Malaysia akan diteroka yang boleh menyumbang kepada keselamatan dan keterjaminan makanan negara seperti teknik isotop stabil bagi penjejakan dan ketulenan makanan, teknologi penyinaran makanan, teknik penyurih.
"Ini untuk kelestarian tanaman makanan, biak baka mutasi sinaran untuk penghasilan varieti baru tanaman makanan dan teknik pensterilan serangga (SIT)," katanya.
Mendepani situasi ini, beliau berkata pendekatan Whole of Government, Whole of
Society (WoGoS) amat penting bagi memantapkan aspek keterjaminan makanan dalam berhadapan dengan persekitaran yang sentiasa berubah, tidak menentu, rumit dan samar (VUCA) demi kelangsungan keterjaminan makanan negara.
Justeru Fadillah berkata, saranan konstruktif yang diketengahkan dalam mesyuarat ini akan ditambahbaik sebelum diangkat untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara.