Harga sawit lebih tinggi tahun ini, MPOB

KUALA LUMPUR— Harga minyak sawit mentah (MSM) pada 2024 dijangka lebih kukuh berbanding tahun sebelumnya dengan purata harga MSM untuk satu tan adalah antara RM3,900 hingga RM4,200, didorong oleh kekurangan bekalan global dan cuaca panas.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, untuk tahun ini harga komoditi utama negara itu mencatat paras tertinggi RM4,443 setiap tan dalam dagangan harian pada 3 April lalu sebelum berlegar di paras RM4,300 ketika ini.

“Antara faktor yang mempengaruhi pengukuhan purata harga MSM pada tahun ini ialah jangkaan bekalan minyak sawit dunia yang terhad lanjutan daripada pelaksanaan mandat biodiesel B35 di Indonesia.

“Pelaksanaan mandat biodiesel B35 ini bakal menghadkan bekalan global, yang kini dalam keadaan ketat disebabkan keadaan cuaca yang tidak begitu baik tahun lalu,” katanya menurut Berita Harian pada Ahad.

Dr Ahmad Parveez menambah, selain itu keadaan cuaca panas pada ketika ini dijangka juga akan memberi kesan kepada pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan seterusnya memberi kesan kepada bekalan minyak sawit dunia.

“Pada ketika ini, purata hasil buah tandan segar (BTS) bagi Januari hingga Februari 2024 masih lagi menunjukkan peningkatan berbanding tempoh yang sama pada 2023.

“Peningkatan purata ini menyokong dapatan kajian bahawa kejadian El Nino tidak memberikan kesan serta merta kepada pengeluaran kelapa sawit kerana suhu panas melampau lebih menjejaskan proses pendebungaan,” katanya.

Beliau menambah, kesan cuaca panas terhadap pengeluaran BTS yang berlaku pada ketika ini dijangka hanya akan dapat dilihat pada suku keempat tahun ini,” katanya.

Penilaian oleh Pusat Ramalan Iklim iaitu Climate Prediction Center/NCEP/NWS dan International Research Institute for Climate and Society melalui laporan berkala pada Januari dan Februari yang lalu menunjukkan bahawa peristiwa El Nino yang berlaku ketika ini dicirikan sebagai kuat dan matang, menunjukkan intensiti yang signifikan dengan kesan yang ketara terhadap corak cuaca dan keadaan laut.

Katanya, fenomena El Nino ini beralih kepada ENSO neutral pada bulan ini hingga Jun 2024.


Gambar hiasan
Next Post Previous Post