Datang sebelum subuh demi menukar tong gas kuning
Pelanggan seawal 6 pagi meletakkan tong kuning di hadapan gudang Maju Gas Supply di E-mart, Tudan hari ini. Gambar kredit BC Juniors |
MIRI— Demi menukar silinder gas petroleum cecair (LPG) tong kuning kepada tong merah Petros, penduduk sanggup datang sebelum subuh di hadapan gudang Maju Gas Supply berhampiran E-mart Tudan, hari ini.
Berdasarkan perkongsian pengguna di media sosial, mereka mula beratur seawal 6 pagi di premis tersebut memandangkan ramai pelanggan yang mahu membuat persiapan menjelang Aidilfitri minggu hadapan.
Seorang pelanggan berkata, orang ramai perlu datang awal memandangkan jumlah tong kuning yang boleh ditukar dihadkan 60 tong sehari.
“Siapa cepat dia dapat, setiap pelanggan hanya dapat menukar satu tong.
“Jam 8 pagi buka kedai terus habis stok, terpaksa tunggu esok hari. Sebab itu sebelum subuh mesti sudah tunggu,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Borneo Network difahamkan, bagaimanapun pelanggan hanya berpeluang menukar tong kuning mereka di premis tersebut pada Isnin hingga Jumaat.
Dalam pada itu, ramai netizen yang mengeluh kesukaran menukar tong gas kuning kepada Petros.
“Bagaimana hendak menukar tong kuning jika pengedar tidak mempunyai stok mencukupi? Betul-betul menyusahkan rakyat,” komen seorang netizen.
Seorang lagi pengguna turut mengadu terpaksa memandu dari Permyjaya ke Senadin dan Lutong untuk mencari menukar tong gas kuning.
“Semua kita macam orang gila gara-gara tong kuning,” kata mereka.