Cubaan seludup dadah ke Sibu gagal, buruh ditahan di KLIA2
SHAH ALAM— Memilih penerbangan pada awal pagi untuk mengelak pemeriksaan, itu modus operandi dua buruh binaan bagi menyeludup dadah ke Sarawak.
Bagaimanapun, taktik licik itu gagal dan terbongkar selepas dadah yang disimpan dalam bagasi dan beg sandang yang dibungkus beberapa lapisan plastik hitam dikesan mesin pengimbas di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) pada Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, dua suspek termasuk seorang warga Indonesia berusia 29 dan 44 tahun itu ditahan ditahan kira-kira jam 4.11 pagi selepas pemeriksaan ke atas bagasi dan beg sandang mereka menemukan 7,000 gram dadah jenis Methamphetamine, selain 5,960 gram pil Erimin 5 dan 61 gram ekstasi.
Susulan penahanan suspek, polis kemudian melakukan serbuan di sebuah unit kondominium yang disewa mereka di Seri Kembangan dan menemui 9 kg pil eramin 5 dan 169.65 gram ketamin.
"Nilai keseluruhan dadah dirampas dalam kedua-dua kes itu adalah RM1.76 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor semalam, lapor Berita Harian.
Sasikala menambah, siasatan mendapati kedua-dua suspek itu telah beberapa kali menggunakan kaedah penerbangan awal pagi untuk mengelak pemeriksaan.
Katanya, kedua-dua suspek didapati aktif menyeludup dadah sejak empat bulan lalu, mensasarkan Sibu dan pernah beberapa kali menggunakan KLIA2.
“Mereka juga tidak pernah menggunakan keldai dadah sepanjang beroperasi.
“Mungkin terlalu yakin dengan kejayaan sebelum ini, mendorong mereka cuba menyeludup lagi dadah pada waktu awal pagi.
“Namun, polis bantuan yang bertugas di KLIA2 mula berasa curiga dengan bagasi suspek yang telah dimasukkan ke mesin pengimbasan sebelum pemeriksaan berjaya membongkar penemuan dadah dalam plastik hitam dan dikunci di dalam beg sandang yang disimpan di dalam bagasi pakaian itu,” katanya
Beliau menambah, suspek dipercayai membungkus dan menyimpan dadah di rumah sewa tersebut sebelum diseludup keluar ke Sarawak.
Semakan mendapati suspek tempatan mempunyai empat rekod lampau dadah manakala kedua-dua suspek itu juga positif methaphetamine dan amphetamine.
Dua suspek direman sehingga 28 April ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.